Lelaki Rohingya Dicekup JPJ Pandu BMW 5 Series Tanpa Lesen Di Kota Bharu

Bukan hanya motosikal, warga asing termasuk etnik Rohingya turut dikesan menggunakan kenderaan mewah seperti BMW 525 dan Toyota Land Cruiser bernilai kira-kira RM780,000.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, kedua-dua kenderaan berkenaan disita menerusi Ops Luxury yang dilaksanakan bagi menguatkuasakan kesalahan melibatkan penggunaan kenderaan mewah.

Menurutnya, BMW 525 yang dipandu lelaki warga Rohingya berusia 36 tahun disita pada 19 September lalu di Jalan Pasir Hor.

“Pemandu itu adalah warga Rohingya yang memiliki perniagaan kedai runcit dan tidak memiliki lesen memandu.

“Kereta itu dibeli daripada warga tempatan dan pemilikannya tidak ditukar kerana warga Rohingya tidak boleh memiliki kenderaan, jadi kami sita BMW tersebut,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Land Cruiser RM780,000 Turut Disita

Sehari kemudian, JPJ Kelantan menyita pula sebuah Toyota Land Cruiser yang dipandu lelaki warga Bangladesh berusia 51 tahun dan berstatus Pemastautin Tetap.

Muhammad Kifli berkata, kenderaan bernilai kira-kira RM780,000 itu disita pada 20 September lalu di Tunjong selepas didapati mempunyai kesalahan LKM tamat tempoh dan tiada insurans.

“Kenderaan bernilai kira-kira RM780,000 itu disita pada 20 September lalu di Tunjong kerana LKM tamat tempoh dan tiada insurans.

“Dua kes ini pemandu dan pemilik tidak boleh membayar kompaun dan akan dibawa ke mahkamah,” katanya.

Menurut beliau, tindakan berkenaan merupakan sebahagian daripada penguatkuasaan JPJ terhadap penggunaan kenderaan mewah yang melakukan kesalahan di jalan raya.

481,119 Saman Terhadap Pemandu Warga Asing

Dalam perkembangan berasingan menerusi Operasi Pemandu Warga Asing (Pewa), JPJ turut mengesan kegiatan segelintir rakyat Malaysia yang menyewakan motosikal kepada warga asing, khususnya Rohingya, demi mendapatkan keuntungan.

Muhammad Kifli berkata, hasil risikan dan siasatan mendapati motosikal disewakan pada kadar antara RM50 hingga RM200 sebulan bergantung kepada keadaan motosikal serta kegunaannya.

“Ada juga kes majikan tempatan yang menggajikan pemandu warga asing untuk memandu kenderaan perdagangan.

“Kalau rakyat Malaysia tidak menyewakan atau menggaji warga asing termasuk Rohingya ini, mereka tidak akan berada di atas jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh dua setengah tahun bermula 1 Januari 2024 hingga 15 September lalu, JPJ telah mengeluarkan sebanyak 481,119 saman terhadap pemandu warga asing.

Daripada jumlah itu, kesalahan tertinggi melibatkan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dengan 121,832 saman.

Ia diikuti kesalahan LKM tamat tempoh sebanyak 50,469 saman dan tiada insurans sebanyak 43,299 saman.

Sebanyak 252,560 saman lagi melibatkan pelbagai kesalahan lain.

“Rohingya paling ramai dikesan menunggang motosikal terutama jenis roda tiga untuk mengutip besi buruk diikuti Bangladesh, Indonesia, India dan Pakistan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian, Kosmo!

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!