Lelaki Rohingya Dakwa Terima ‘Arahan Tuhan’ Sebelum Tetak Rakan Serumah

Seorang lelaki etnik Rohingya berusia 21 tahun mendakwa menerima ‘arahan Tuhan’ sebelum bertindak menghiris dan menetak leher rakan serumahnya menggunakan parang dalam kejadian di Kota Bharu.

Suspek ditahan di rumah sewanya di Pasir Mas pada Isnin selepas dipercayai melarikan diri susulan kejadian.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, siasatan awal mendapati suspek mendakwa mengalami halusinasi sebelum melakukan perbuatan tersebut.

“Dia kata....dia bangun awal pagi dan mendakwa menerima arahan Tuhan. Kita masih menyiasat perkara itu.

“Suspek macam mengalami halusinasi dan sama ada keadaan itu benar-benar berlaku atau tidak, ia perlu ditentukan oleh pakar perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Mangsa Ditemukan Maut Dalam Rumah Kongsi

Kes berkenaan melibatkan seorang lelaki etnik Rohingya berusia 18 tahun yang ditemukan maut di sebuah rumah kongsi berhampiran tanah perkuburan Islam di Taman Desa Kujid, Kampung Pak Boh, Kota Bharu pada Sabtu lalu.

Mangsa ditemukan dengan kesan luka hiris dan tetak pada bahagian leher.

Pusat Kawalan Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menerima maklumat mengenai penemuan mangsa kira-kira pukul 12.12 tengah malam.

Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku di rumah kongsi berhampiran tanah perkuburan Islam di kawasan tersebut.

Polis: Tiada Pergaduhan Sebelum Kejadian

Mohd Yusoff berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh binaan dipercayai menggunakan parang dalam kejadian tersebut.

Bagaimanapun, siasatan setakat ini mendapati tiada pergaduhan atau pergelutan berlaku antara suspek dengan mangsa sebelum kejadian.

“Tak ada pergaduhan, tak ada pergelutan. Mereka berada di tempat yang sama dan ketika itu lepak seperti biasa,” katanya.

Polis Semak Dokumen Pengenalan

Dalam perkembangan sama, polis turut menyiasat persoalan berkaitan dokumen pengenalan suspek selepas terdapat persamaan tarikh lahir dalam rekod yang diperoleh.

Menurut Mohd Yusoff, perbezaan tarikh lahir yang dikesan hanya melibatkan tahun dan perkara itu sedang disemak.

Polis turut menyiasat kemungkinan berlaku penyalahgunaan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Kita akan semak lanjut kerana ada kemungkinan memiliki kad yang palsu, tetapi perkara itu masih dalam siasatan,” katanya.

Setakat ini, dakwaan suspek berkaitan halusinasi dan ‘arahan Tuhan’, selain isu dokumen pengenalan, masih dalam siasatan pihak polis.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!