Laluan Laut Tak Bai Kini Laluan Utama Kemasukan PATI Ke Kelantan

Laluan laut dari Tak Bai, Thailand kini dikenal pasti antara laluan utama kemasukan pendatang tanpa izin ke Kelantan berbanding sempadan Sungai Golok.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, perkara itu dikenal pasti berdasarkan tangkapan yang dibuat pihak polis setakat ini.

Menurutnya, pendatang berkenaan dikesan memasuki negara melalui laluan laut dari Tak Bai sebelum menggunakan Sungai Kelantan.

“Polis kini meningkatkan pemantauan terhadap laluan laut berkenaan, selain bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengekang aktiviti kumpulan yang dipercayai terlibat dalam kemasukan pendatang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, pada Selasa

96 Jeti Sudah Dirobohkan

Mohd Yusoff berkata pihak polis turut menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa Thailand untuk tindakan lanjut.

Dalam masa sama, kawalan keselamatan di sempadan darat kekal diperkukuh dengan penglibatan Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi berkaitan.

Menurutnya, sebanyak 96 jeti telah dirobohkan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kawalan di kawasan sempadan.

Tindakan turut akan diambil terhadap sebarang pembinaan struktur baharu yang berpotensi menjejaskan kawalan keselamatan.

“Kalau kami dapati ada yang buat struktur baharu, kami akan robohkan,” katanya.

Pantau Akses Di Tebing Sungai

Mohd Yusoff berkata pemantauan turut dilakukan di kawasan tertentu yang sebelum ini mempunyai akses melalui tebing sungai.

Ia termasuk lokasi yang tidak mempunyai binaan jeti tetapi menggunakan laluan sedia ada untuk keluar masuk.

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha pihak berkuasa memperketat kawalan di kawasan sempadan Kelantan.

Orang Awam Diminta Jangan Ambil Tindakan Sendiri

Dalam pada itu, Mohd Yusoff menasihatkan orang awam supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap pelarian Myanmar atau pendatang yang disyaki melakukan kesalahan.

Sebaliknya, orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Tindakan sedemikian boleh mencetuskan pergaduhan atau kejadian tidak diingini, selain menyukarkan usaha penguatkuasaan. Kami masih mampu menangani apa jua jenayah dan isu sempadan ini. Jadi, laporkan kepada kami dan biar pihak berkuasa mengambil tindakan,” katanya.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!