Kehilangan insan tersayang sejak kecil bukan penghalang buat seorang remaja dari Kelantan untuk mengejar impian apabila berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran dalam tempoh hanya 3 bulan 14 hari.
Lebih menyentuh hati, Muhammad Syakur Qayyum bin Sam Suhaili, 15, merupakan anak yatim piatu yang turut kehilangan nenek tersayang, insan yang pernah menjadi tempatnya menumpang kasih selepas pemergian kedua-dua ibu bapanya.
Berasal dari Kampung Kedai Menanti, Pasir Puteh, Syakur kehilangan ayah akibat kemalangan ketika berusia kira-kira tiga tahun.
Hanya tiga bulan selepas itu, ibunya pula meninggal dunia, menjadikan dia dan adik perempuannya yatim piatu ketika masih kecil.
Selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa, Syakur dibesarkan oleh neneknya. Namun, ujian hidupnya sekali lagi datang apabila wanita yang menjaganya itu jatuh sakit sebelum meninggal dunia.
Sejak itu, Syakur meneruskan kehidupan di bawah jagaan bapa saudara dan ibu saudaranya yang banyak memberikan kasih sayang serta sokongan untuknya mengejar impian menjadi seorang hafiz.
Perjalanan menjadi hafiz bukan mudah
Menurut perkongsian Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL) di Facebook, Syakur memilih untuk menyertai Tahfiz AKMAL Cawangan Kelantan di Pasir Mas bagi memberikan tumpuan kepada hafazan menerusi program intensif selama setahun.
Ketika mula menyertai AKMAL, dia disifatkan sebagai seorang pelajar yang sangat pemalu.
Bagaimanapun, seiring dengan masa, Syakur mula berubah menjadi lebih ceria, aktif, berdisiplin dan mempunyai matlamat yang jelas dalam kehidupan.
Perjalanan hafazannya juga tidak sentiasa lancar.
Ada kalanya dia kecewa apabila gagal mencapai sasaran hafazan harian. Malah, dia pernah meragui kemampuan diri sehingga terlintas untuk tidak meneruskan perjuangan ke peringkat syahadah.
Namun, melalui bimbingan murabbi Tahfiz AKMAL, pendekatan psikologi, motivasi berterusan serta penyusunan semula sasaran hafazan, Syakur kembali membina keyakinan diri.
Dia belajar mengurus kekecewaan, memperbaiki kelemahan dan bangkit semula setiap kali berhadapan kesukaran.
Malah, Syakur antara pelajar yang paling awal hadir untuk memperdengarkan hafazannya kepada guru.
Ada kalanya, ketika gurunya baru tiba pada waktu pagi, dia sudah pun berada di situ untuk memulakan sesi tasmi'.
Berjaya hafaz 30 juzuk dalam 3 bulan 14 hari
Kesungguhan itu akhirnya membuahkan hasil apabila Syakur berjaya menyempurnakan hafazan 30 juzuk Al-Quran dalam tempoh hanya 3 bulan 14 hari.
Kejayaan tersebut sekali gus merealisasikan impiannya dan menjadi hadiah istimewa buat arwah ayah, ibu serta nenek yang telah pergi terlebih dahulu.
AKMAL turut menyifatkan perjalanan hidup Syakur sebagai kisah yang mengingatkan kepada kehidupan Nabi Muhammad SAW yang turut melalui kehilangan insan tersayang sejak kecil.
Mudah-mudahan segala ujian yang dilalui menjadi sebahagian daripada pembentukan jati diri, ketabahan dan kekuatan jiwa Syakur untuk menghadapi kehidupan pada masa hadapan.
Anak muda ini bukan sahaja membuktikan bahawa kehilangan tidak semestinya memadamkan impian, malah kejayaannya menghafaz 30 juzuk Al-Quran pada usia 15 tahun menjadi inspirasi kepada ramai.
Sumber: Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL)
