Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dikesan menggunakan kereta yang menyerupai kenderaan pihak berkuasa dengan memasang lampu beacon bagi mengelirukan anggota keselamatan.
Taktik itu terbongkar selepas dua kereta jenis Proton Preve ditahan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) dalam operasi di Kampung Kok Serai, Tumpat, awal pagi Sabtu.
Dalam operasi kira-kira jam 6 pagi itu, pihak berkuasa turut menahan sembilan PATI warga Myanmar dan India yang dipercayai dibawa masuk melalui Sungai Golok di Pengkalan Kubor.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua kenderaan berkenaan bukan sahaja dilengkapi lampu mata arah atau beacon light, malah menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Foto: Berita Harian
Menurutnya, pihaknya sudah beberapa kali melakukan tangkapan terhadap sindiket penyeludupan PATI yang menggunakan kenderaan dilengkapi lampu berkenaan.
“Lampu mara arah hanya boleh digunakan oleh pihak berkuasa.
Bagaimanapun sindiket menggunakannya bagi menampakkan seolah-olah kereta dipandu adalah milik polis.
“Bagaimanapun dua kenderaan itu berjaya ditahan pagi tadi ketika membawa sembilan PATI warga Myanmar dan India yang berjaya menyeberangi Sungai Golok di Pengkalan Kubor,” katanya.
Tekong Darat Hampir Langgar Anggota PGA
Ahmad Radzi berkata, sebelum tangkapan dilakukan, anggota PGA berdepan detik cemas apabila hampir dilanggar sebuah kereta yang dipandu tekong darat.
Pemandu berkenaan merupakan lelaki etnik Rohingya berusia 27 tahun.
Dalam kejadian sama, sebuah lagi Proton Preve yang dipandu lelaki warga Myanmar terbabas sebelum merempuh pokok.
Akibat kejadian itu, tekong darat berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kanan muka.
PATI Dijanjikan Pekerjaan Di Kuala Lumpur
Menurut Ahmad Radzi, kesemua PATI yang ditahan terdiri daripada lelaki dan wanita berusia antara 21 hingga 35 tahun.
Mereka dipercayai mahu dibawa oleh sindiket ke Kuala Lumpur selepas berjaya memasuki negara ini.
Hasil soal siasat awal mendapati setiap warga Myanmar terbabit dikenakan bayaran sekitar RM6,000 seorang untuk masuk ke Malaysia dan dijanjikan pekerjaan di Lembah Klang.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sumber: Berita Harian
