Siapa sangka seni dikir barat yang sinonim dengan tradisi masyarakat Melayu boleh bergandingan dengan teknologi robotik
Pengalaman unik itu dilalui pelakon dan penggiat seni, Sabri Yunus apabila buat pertama kali berdikir barat bersama robot humanoid dikenali sebagai Nexora.
Lebih menarik, persembahan yang menggabungkan seni tradisional dengan teknologi moden itu hanya sempat dilatih sekali pada malam sebelum acara berlangsung.
Sabri berkata, pengalaman tersebut cukup baharu dan menyeronokkan buat dirinya, lebih-lebih lagi apabila persembahan berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton.
“Ini kali pertama saya berdikir barat dengan robot. Kami sempat berlatih sekali sahaja pada malam sebelum persembahan. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya.
Dikir Barat Bersama Robot Di Pentas Kebangsaan
Persembahan itu turut melibatkan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lati, Kelantan sempena majlis penutup Malaysia Techlympics Peringkat Akhir Kebangsaan.
Acara itu berlangsung sempena Ekspo Sains, Teknologi dan Inovasi 2026 (E-STI) anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di MAEPS, baru-baru ini.
Menurut Sabri, gabungan seni dan teknologi boleh menjadi pendekatan menarik untuk mendekatkan generasi muda dengan warisan budaya, selain memberi peluang kepada mereka meneroka bidang sains dan teknologi.
“Ini sesuatu yang baharu bagi saya. Ia boleh menarik minat anak-anak muda untuk menyelami budaya sambil mempelajari sains dan teknologi.
“Secara tidak langsung, ia membuka peluang kepada semua pelajar. Mereka yang datang untuk seni boleh melihat pelbagai projek sains di sini, manakala yang datang untuk pertandingan sains pula boleh menikmati seni tradisi yang dipersembahkan,” katanya.
Interaksi Dengan Robot Berbeza Daripada Persembahan Biasa
Mengulas pengalaman berdikir barat bersama robot, Sabri berkata, terdapat perbezaan dari segi interaksi spontan yang menjadi antara keistimewaan seni berkenaan.
Jika persembahan biasa membolehkan penggiat seni berbalas-balas secara spontan, persembahan bersama Nexora pula memerlukan perancangan lebih awal, termasuk penyediaan lirik.
“Dengan robot, semuanya sudah dirancang, termasuk lirik yang disiapkan lebih awal. Tetapi itu bukanlah kekurangan, kita kena menerima persembahan yang sedikit berbeza.
“Saya seronok dan penonton pun teruja melihat dikir barat dipersembahkan bersama robot,” katanya.
Seni Dan Sains Saling Melengkapi
Bagi Sabri, gabungan seni dan sains bukanlah sesuatu yang asing kerana kedua-duanya sudah lama saling melengkapi dalam dunia persembahan.
Beliau memberikan contoh penggunaan mikrofon dan pembesar suara yang membuktikan unsur sains sudah menjadi sebahagian daripada seni, khususnya bagi memastikan suara penggiat seni dapat didengari dengan jelas.
“Sekarang kita guna mikrofon dan pembesar suara. Zaman dahulu pun orang sudah memikirkan bagaimana suara boleh didengari dengan jelas ketika membuat persembahan.
“Pantulan suara itu sendiri ialah satu contoh unsur sains dalam seni,” jelasnya.
Sabri turut berpandangan kecerdasan buatan (AI) boleh dimanfaatkan sebagai alat untuk memperkaya dan menambah baik karya seni, termasuk dalam aspek persembahan.
Mahu Ilmu Dikir Barat Terus Diwarisi Generasi Muda
Dalam masa sama, beliau menegaskan tanggungjawab memelihara dan mengembangkan seni dikir barat perlu dipikul bersama, khususnya oleh penggiat seni yang mempunyai pengalaman serta pengetahuan dalam bidang berkenaan.
Katanya, melihat murid sekolah rendah didedahkan kepada seni tradisional sejak awal merupakan sesuatu yang membanggakan kerana mereka bakal menjadi pewaris budaya pada masa depan.
“Saya bukanlah guru yang mengajar subjek di sekolah tetapi sebagai orang seni saya seronok melihat anak-anak di sekolah rendah sudah diajar tentang budaya dan dikir barat.
“Kalau saya sudah tiada nanti, merekalah yang akan mewarisi kesenian ini. Selagi hayat dikandung badan, saya akan curahkan segala ilmu yang ada kepada generasi akan datang,” katanya.
Selain dikir barat, acara berkenaan turut menampilkan persembahan seni tradisional lain seperti Boria dari Pulau Pinang, Tarian Zapin dari Johor dan Tarian Bugang dari Sabah.
Kepelbagaian persembahan itu memperlihatkan warisan budaya tanah air yang terus diberi ruang dalam acara menggabungkan seni, sains dan teknologi.
Sumber: Utusan
