Anak jati Kuala Krai, Yap Wen Wei mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila berjaya meraih gelaran Ambassador of Education pada pertandingan Miss International 2026 di Tokyo, Jepun.
Kejayaan itu diraih menerusi projek advokasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bertajuk One Device, Endless Possibilities yang memberi tumpuan kepada usaha memperluaskan akses pendidikan digital kepada kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan.
Pertandingan edisi ke-64 itu berlangsung di Kanadevia Hall, Tokyo, pada 25 November lalu dengan menghimpunkan wakil dari lebih 70 negara.
Bawa identiti Kelantan menerusi songket dan batik
Sebelum pertandingan berlangsung, Wen Wei, 28, pernah berkongsi hasrat untuk memperkenalkan keunikan warisan negara kepada masyarakat antarabangsa menerusi persalinan berasaskan songket dan batik.
Wakil Malaysia itu berkata, setiap helaian pakaian yang dibawanya perlu mempunyai elemen tempatan sebagai lambang identiti negara.
"Maybe, we are not fancy, tetapi keaslian inilah yang membezakan Malaysia. Saya juga amat bangga dapat membawa identiti Kelantan yang tersemat kuat dalam diri saya ke pentas dunia. Membesar di kampung dan membantu nenek berniaga di kedai runcit banyak membentuk peribadi saya hari ini," katanya kepada Bernama sebelum pertandingan.
Anak jati Kuala Krai itu turut memberi tumpuan kepada persediaan kemahiran berucap, ketahanan mental serta pengetahuan isu semasa bagi menghadapi pertandingan berkenaan.
Projek sumbang hampir 1,000 komputer riba
Selain mengetengahkan budaya Malaysia, Wen Wei turut membawa projek pendidikan digital yang diusahakannya sejak 2023.
Menerusi inisiatif One Device, Endless Possibilities, hampir 1,000 unit komputer riba telah disalurkan kepada murid daripada keluarga B40 bagi membantu mengurangkan jurang digital.
Projek itu dilaksanakan dengan kerjasama Sambong Future Foundation dan turut melibatkan kanak-kanak yang memerlukan, termasuk murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Gurney serta penerima manfaat Yayasan Chow Kit.
Usaha berkenaan selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan keempat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu Pendidikan Berkualiti.
Inisiatif itu menekankan kepentingan akses kepada peranti digital supaya kanak-kanak berpeluang mendapatkan ilmu, membangunkan kemahiran dan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi.
Kemenangan bawa mesej lebih besar
Pengarah Kebangsaan Miss International Malaysia, Jenny Ngu berkata, kejayaan Wen Wei bukan sahaja membanggakan negara, malah membuktikan kecantikan lebih bermakna apabila digunakan untuk membuka peluang dan membawa perubahan positif.
“Kemenangan ini bukan hanya untuk Wen Wei, tetapi juga bagi setiap kanak-kanak yang mempunyai potensi untuk dikembangkan,” katanya.
Wen Wei memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Teknologi Multimedia dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan bekerja sebagai pengurus pemasaran serta model sambilan.
Beliau juga bukan asing dalam pertandingan ratu cantik apabila pernah meraih tempat ketiga dalam Miss Celebrity International 2023.
Perjalanannya bermula sejak 2022 apabila berjaya memasuki kelompok enam terbaik sebelum memperoleh tempat kedua pada 2025.
Selepas beberapa kali mencuba, peluang mewakili Malaysia di Miss International akhirnya menjadi kenyataan pada tahun ini.
Kejayaan meraih gelaran Ambassador of Education sekali gus menjadi satu lagi pencapaian bermakna buat Wen Wei, selain membawa nama Kuala Krai dan Malaysia ke pentas dunia.
Sumber: Bernama, Utusan Borneo
