Kerajaan tidak bercadang menggunakan model pembiayaan hibrid bagi projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), sebaliknya memilih kaedah kerjasama awam-swasta (PPP) dengan kos pembinaan ditanggung sepenuhnya oleh pembida yang berjaya.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, projek lebuh raya sepanjang 122 kilometer itu perlu dilihat secara menyeluruh bersama pelbagai projek infrastruktur lain yang sudah diumumkan dan sedang dilaksanakan kerajaan.
"Pembiayaan hibrid adalah sesuatu yang baharu. Bagaimanapun, LPT3 perlu dilihat bersama semua projek infrastruktur yang sudah diumumkan dan dilaksanakan kerajaan.
"Setakat ini, tiada cadangan pembiayaan hibrid dikemukakan," katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) yang ingin mengetahui sebab kerajaan tidak mempertimbangkan kaedah pembiayaan seperti projek pelebaran trafik Juru-Sungai Dua di Pulau Pinang.
Wan Hassan turut merujuk model pembiayaan hibrid di bawah Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030), yang membabitkan 60 peratus pembiayaan kerajaan dan baki 40 peratus daripada institusi seperti PLUS Malaysia Bhd.
Menjelaskan perkara itu, Ahmad berkata kerajaan perlu mengambil kira pelaburan sedia ada dalam projek infrastruktur pengangkutan utama yang memberi perkhidmatan kepada penduduk Pantai Timur sebelum menentukan kaedah pembiayaan LPT3.
Antara projek yang disenaraikan ialah Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai bernilai RM2.3 bilion yang dibiayai sepenuhnya kerajaan dan disasarkan siap pada akhir 2027.
Selain itu, projek Jalan Lingkaran Tengah Utama (CSR) bernilai RM7.7 bilion turut dibiayai kerajaan tanpa mengenakan tol, dengan jangkaan siap pada pertengahan 2028.
Kerajaan turut melaksanakan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM52.43 bilion sebagai sebahagian daripada pembangunan infrastruktur pengangkutan di Pantai Timur.
Dalam perkembangan sama, Ahmad berkata kajian awal yang dijalankan antara 2020 hingga 2022 menganggarkan kos pembinaan LPT3 sebanyak RM9.8 bilion.
Bagaimanapun, kos berkenaan dijangka melebihi RM10 bilion berdasarkan keadaan semasa.
Katanya, kerajaan memutuskan supaya projek itu dilaksanakan melalui proses Permintaan Cadangan (RFP) secara kompetitif di bawah model PPP.
Kementerian Kerja Raya juga sudah mengemukakan Penyata Keperluan kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Ketika ini, UKAS masih menyediakan dokumen RFP sebelum cadangan projek berkenaan dibawa ke Kabinet untuk pertimbangan.
LPT3 yang dicadangkan itu bakal menghubungkan Kampung Gemuruh di Terengganu dengan Tunjong di Kelantan, sekali gus melengkapkan rangkaian Lebuhraya Pantai Timur sedia ada.
Sumber: Harian Metro
