Untung Bukan Keutamaan, Peniaga Di Kota Bharu Kekal Jual Nasi Lemak RM1

Tragedi kebakaran yang memusnahkan rumahnya pada 2021 tidak mematahkan semangat seorang peniaga di Kota Bharu untuk bangkit meneruskan kehidupan.

Sebaliknya, ujian itu menjadi titik permulaan buat Adnan Che Kar, 52, atau lebih dikenali sebagai Abe6, untuk mencari rezeki dengan menjual nasi lemak pada harga hanya RM1 sebungkus.

Menurutnya, pengalaman kehilangan rumah akibat kebakaran mengajarnya untuk lebih menghargai setiap rezeki yang diperoleh walaupun dalam jumlah kecil.

“Saya pernah melalui saat sukar apabila rumah musnah dalam kebakaran pada 2021. Bila diuji begitu, kita belajar untuk lebih bersyukur dengan apa yang ada dan terus berusaha mencari rezeki yang halal,” katanya.

Berniaga Selepas Kehilangan Rumah

Adnan bersama isterinya, Zubaidah Ismail, 51, memulakan perniagaan nasi lemak di Jalan Mahmood pada Mei 2023.

Pada peringkat awal, mereka menghantar nasi lemak ke beberapa kedai untuk dijual, namun kaedah itu tidak dapat diteruskan apabila sebahagian hasil jualan gagal diperoleh walaupun makanan habis dijual.

“Bila letak di kedai, nasi lemak habis, tetapi duit jualan tidak diterima sepenuhnya. Keadaan itu menyukarkan kami untuk meneruskan perniagaan,” katanya.

Mereka kemudian mengambil keputusan berniaga sendiri di tepi jalan dengan mengekalkan harga RM1 bagi setiap bungkus nasi lemak.

Anggap Sebagai Sedekah

Walaupun keuntungan yang diperoleh tidak besar, Adnan mengakui beliau berpuas hati kerana dapat membantu orang ramai menikmati sarapan pada harga mampu milik.

“Bagi saya, jual RM1 ini bukan semata-mata untuk untung. Saya anggap ia sebagai satu bentuk sedekah kepada orang ramai. Walaupun untung sedikit, saya bersyukur kerana masih ada rezeki,” katanya.

Setiap hari kecuali Sabtu, pasangan itu menyediakan kira-kira 400 bungkus nasi lemak lengkap dengan ikan bilis, telur rebus, timun dan kacang.

Terima Tempahan Infak Sehingga 1,000 Bungkus

Selain jualan harian, mereka turut menerima tempahan infak daripada individu dan pelbagai organisasi dengan jumlah tempahan lazimnya antara 350 hingga 400 bungkus.

Menurut Adnan, tempahan terbesar yang pernah diterima adalah sebanyak 1,000 bungkus daripada Masjid Muhammadi selain beberapa masjid lain di sekitar Kota Bharu.

Pada bulan Ramadan pula, beliau memulakan operasi seawal jam 1 pagi bagi memenuhi permintaan pelanggan yang membeli nasi lemak untuk bersahur.

Bagi menambah pendapatan keluarga, Adnan turut bekerja sebagai pemandu teksi bagi perjalanan jarak jauh ke Kuala Lumpur dan Johor.

“Saya percaya rezeki itu milik Allah. Selagi mampu, saya akan cuba kekalkan harga RM1 supaya lebih ramai dapat menikmati nasi lemak ini,” katanya.

Sumber: Bernama

SHARE:

TERKINI

Tiga Lelaki Ditahan, Pondok Proses Air Ketum Diserbu PGA Di Tumpat
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan satu kegiatan pemprosesan…
Curi RM50 Tabung Masjid Di Wakaf Bharu, Penganggur Dipenjara Lima Bulan
|
Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah…
Selepas Empat Tahun Berehat, Rahim Maarof Berkeras Mahu Buat Persembahan Di Kota Bharu
|
Empat tahun berehat daripada dunia nyanyian bukanlah tempoh yang…
Penarik Kereta Direman Selepas Disyaki Edar Pil Kuda Bernilai RM61,000 Di Tumpat
|
Seorang duda yang mempunyai dua anak direman selama tujuh…
KRW FC Tangguh Pengambilan Pemain Baharu, Tunggu Isu Teknikal Selesai
|
Ketua Jurulatih Kelantan Red Warriors (KRW) FC, Irfan Bakti…
46 Projek Bernilai RM207.2 Juta Diluluskan Untuk Pasir Puteh
|
Pasir Puteh bakal menerima suntikan pembangunan apabila kerajaan meluluskan…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!