Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang berusaha menyelesaikan isu sekatan perpindahan yang dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Naib Presiden 1 FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail berkata, pihaknya melalui Ahli Exco FIFA telah berusaha sedaya upaya bagi membantu menyelesaikan perkara berkenaan.
Menurut beliau, rayuan yang dikemukakan sebelum ini menunjukkan perkembangan positif, namun FIFA masih menjalankan analisis dan siasatan terperinci sebelum keputusan rasmi dibuat.
“Rayuan ini telah dikemukakan kepada FIFA melalui Setiausaha Agung FAM. Sehingga kini, keputusan rasmi belum dikeluarkan. Insya-Allah kita akan mendapat berita yang positif.
“Kita berharap satu keputusan positif akan dibuat oleh FIFA bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi pasukan KRW FC,” katanya.
Sebelum ini, KRW FC dikenakan sekatan pendaftaran pemain oleh FIFA susulan tuntutan tunggakan gaji daripada pemain dan jurulatih di bawah pengurusan Kelantan FC sebelum ini.
Pemilihan KAFA Diharap Hidupkan Semula Bola Sepak Kelantan
Dalam perkembangan lain, Rosmadi berharap pemilihan kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang dijadual berlangsung dalam masa terdekat dapat menghidupkan kembali persatuan itu.
Beliau berkata, proses pemilihan tersebut perlu dilaksanakan dengan baik dan teratur bagi membolehkan KAFA kembali berfungsi sebagai badan gabungan rasmi FAM.
“KAFA adalah badan gabungan rasmi FAM. Sebagai pemimpin, sudah tentu saya akan membantu KAFA, lebih-lebih lagi saya sendiri berasal dari Kelantan dan memulakan penglibatan saya dalam bola sepak menerusi KAFA.
“Masalah KAFA semua orang tahu berlarutan kerana menghadapi penggantungan, namun saya difahamkan oleh sekretariat FAM pemilihan KAFA ini akan berlangsung dalam masa terdekat dan saya harap pemilihan ini akan berlaku dengan baik dan teratur demi menghidupkan KAFA dan pembangunan bola sepak Kelantan,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini malam tadi.
FAM Ambil Serius Teguran AFC
Sementara itu, Rosmadi berkata FAM akan mengambil serius semua pandangan serta teguran yang diberikan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam Mesyuarat Agung FAM sebelum ini.
Beliau berkata pasukan kepimpinan baharu FAM yang dipilih pada Khamis lepas merupakan pasukan yang mantap dan berkeupayaan untuk mengembalikan nama baik FAM ke kedudukan yang sepatutnya.
Sumber: Bernama
