Hobi memelihara burung sejak enam tahun lalu membawa padah kepada seorang wanita apabila 22 ekor unggas eksotik bernilai RM28,200 dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Baung Hilir, Pengkalan Chepa, pada Ahad.
Wanita berusia 45 tahun itu ditahan selepas gagal menunjukkan dokumen berkaitan pemilikan tujuh ekor burung Sun Conure dan 15 ekor lovebird yang ditemukan dalam pemeriksaan.
Serbuan kira-kira jam 5 petang itu dilakukan anggota Cawangan Risik Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan menerusi Op Taring Wawasan hasil maklumat risikan.
Komander Briged Tenggara, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi berkenaan turut mendapat kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan.
Menurutnya, kesemua burung itu ditemukan di ruang dapur dan sangkar yang terletak di belakang rumah berkenaan.
"Pemilik rumah gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan burung-burung itu ketika diminta berbuat demikian.
"Susulan itu, wanita terbabit ditahan manakala kesemua burung berkenaan dirampas untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Ahmad Radzi berkata, soal siasat awal mendapati wanita itu mengaku mula memelihara burung sejak 2020 kerana hobi dan minat.
Bagaimanapun, burung-burung yang dirampas dipercayai baru dipelihara sejak awal tahun ini selepas dibeli daripada pembekal di Kota Bharu.
Daripada jumlah keseluruhan rampasan, tujuh ekor burung Sun Conure dianggarkan bernilai RM25,200, manakala 15 ekor lovebird pula bernilai RM3,000.
"Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Perhilitan Kelantan kira-kira jam 9 malam pada hari sama untuk siasatan dan tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)," katanya.
Sumber: Sinar Harian
