Seorang lelaki maut selepas menceroboh kandang harimau di sebuah taman hidupan liar di United Kingdom (UK), dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada Sabtu lalu.
Insiden itu berlaku di Yorkshire Wildlife Park apabila lelaki berkenaan memasuki kawasan kurungan haiwan pemangsa tersebut sebelum diserang harimau.
Video yang tersebar di media sosial menunjukkan lelaki itu duduk di atas rumput di dalam kandang sambil menuding jari ke arah harimau berkenaan.
Haiwan itu kemudian mengaum sebelum menerkam lelaki tersebut.
Mangsa cuba melarikan diri, namun harimau berkenaan menerpa ke arahnya lalu menggigit bahunya.
Jurucakap pihak berkuasa memaklumkan mangsa mengalami kecederaan parah akibat serangan itu.
Lelaki Disahkan Meninggal Dunia Di Lokasi
Polis South Yorkshire berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan sebelum pasukan kecemasan dikerahkan ke lokasi.
Bagaimanapun, lelaki itu disahkan meninggal dunia meskipun petugas perubatan berusaha menyelamatkannya.
Polis turut memaklumkan harimau berkenaan kekal berada di dalam kurungannya dan tiada ancaman terhadap keselamatan orang awam.
Yorkshire Wildlife Park kemudiannya ditutup kepada orang ramai pada akhir minggu lalu susulan kejadian tersebut.
Harimau Amur Tidak Akan Dimatikan
Susulan insiden itu, timbul desakan daripada sesetengah pihak supaya harimau berkenaan dibunuh. Namun, ada juga yang berpendapat lelaki itu sendiri perlu bertanggungjawab atas tindakannya menceroboh kandang haiwan berkenaan.
Jurucakap Yorkshire Wildlife Park mengesahkan harimau spesies Amur yang dikenali sebagai Altai berada dalam keadaan selamat dan sihat.
Pihak taman hidupan liar itu turut mengesahkan Altai tidak akan dimatikan susulan kejadian tersebut.
Harimau Amur merupakan spesies terancam, justeru keputusan berhubung nasib haiwan itu turut menjadi perhatian selepas insiden berkenaan.
