Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun cedera di bahagian kepala dan leher selepas diserang sekumpulan anjing liar ketika bermain pasir di Pantai Kuala Kemasin, Bachok, pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa, Azuar Firdaus Zuraiman mengalami beberapa luka gigitan termasuk kesan taring yang menembusi kulit di bahagian kepala dan leher.
Bapanya, Zuraiman Mahmod, 47, berkata ketika kejadian dia sedang berniaga di kedai makan keluarga yang terletak berhampiran pantai.
Menurutnya, dia terdengar bunyi bising sebelum orang ramai memanggilnya dalam keadaan cemas.
Dia kemudian melihat seorang pekerja buruh di resort berdekatan membawa anaknya dalam keadaan berlumuran darah.
“Anak saya sebelum itu pergi bermain di kawasan berdekatan pantai bersama lima saudaranya yang sebaya pada jam 9 pagi.
“Ketika sedang bermain pasir, tiba-tiba kira-kira lima ekor anjing datang berlari ke arah mereka dan mereka terkejut lalu melarikan diri,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Terjatuh Sebelum Diserang
Zuraiman berkata, anaknya terjatuh ketika cuba melarikan diri sebelum diserang dan digigit beberapa ekor anjing terbabit.
Bagaimanapun, lima saudara mangsa yang lain terselamat.
“Dalam keadaan bergelut, anak saya sempat bangun dan menendang anjing serta lari ke arah pantai untuk selamatkan diri.
“Bagaimanapun, anjing terus mengejarnya sehingga ke pantai dan air cecah paras leher anak saya barulah anjing berhenti menyerang,” katanya.
Seorang pekerja buruh warga asing yang menyedari kejadian itu kemudian berlari membantu menghalau anjing berkenaan.
Mangsa dibawa keluar dari kawasan air sebelum dihantar ke kedai makan milik keluarganya.
Zuraiman kemudian membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Balai sebelum mangsa dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Luka Gigitan Di Kepala Dan Leher
Menurut Zuraiman, anaknya sudah menjalani pembedahan bagi mencuci luka dan menjahit bahagian yang berlubang akibat gigitan anjing.
“Anak saya baru selesai menjalani pembedahan untuk mencuci luka dan menjahit bahagian yang berlubang akibat gigitan anjing.
“Dua kesan taring terdapat di bahagian leher, manakala dua lagi di kepala. Keadaannya masih dirawat dan di wad dan memerlukan pemantauan doktor,” katanya.
Zuraiman yang mempunyai sembilan anak berkata, Azuar merupakan anak kelapan dalam keluarganya.
Katanya, kejadian itu menimbulkan kebimbangan kerana kumpulan anjing liar berkenaan sudah lama berkeliaran di kawasan pantai tersebut.
“Anjing-anjing itu memang sudah lama ada di kawasan pantai dan sering dilihat berkeliaran berhampiran tong sampah.
“Saya ada aduan sebelum ini, malah pernah ada usaha memasang perangkap, tetapi masalah itu hanya selesai seketika,” katanya.
Beliau berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani masalah anjing liar di kawasan berkenaan sebelum berlaku kejadian lebih buruk.
“Saya tidak mahu perkara seperti ini berulang kepada kanak-kanak lain dan ada yang kehilangan nyawa baru tindakan diambil,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
“Kami menerima laporan daripada seorang pekerja resort berhampiran berhubung kejadian terbabit dan siasatan lanjut diteruskan pihak polis,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
