Bunyi Hon Kereta Bertalu-Talu, Jururawat Terkejut Rumah Jiran Terbakar Di Tumpat

Bunyi hon kereta bertalu-talu mengejutkan seorang jururawat sebelum dia menyedari rumah jiran di hadapan kediamannya sedang terbakar dalam kejadian di Perumahan Teras Kota SPP Warisan, Berangan, Tumpat, semalam.

Suriani Ismail, 46, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 9.55 malam, dia sedang mengajar anaknya membaca sebelum terdengar bunyi hon beberapa kali.

Katanya, dia kemudian menyelak langsir untuk melihat keadaan sebelum terkejut apabila mendapati api sudah marak.

“Saya kemudian menyelak langsir untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut apabila melihat api sudah marak.

“Saya terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk meminta bantuan bomba kerana api ketika itu sudah terlalu besar,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Suriani, penyewa rumah berkenaan yang merupakan lelaki warga emas berusia lingkungan 70-an dan tinggal bersendirian sempat menyelamatkan diri sebelum mendapatkan bantuan jiran.

Jelasnya, bunyi hon itu dibunyikan oleh jiran yang tinggal bersebelahan rumah mangsa bagi menarik perhatian penduduk lain ketika dia sedang mengalihkan kenderaannya.

“Masa saya keluar melihat keadaan, saya nampak penduduk cuba bantu padam api guna dua alat pemadam.

“Tapi tak berjaya sebab api terlalu marak membakar rumah setingkat itu,” ujarnya.

Suriani yang bertugas sebagai jururawat di Wakaf Bharu berkata, pengalaman berdepan kejadian kebakaran rumah jiran sebelum ini membuatkannya lebih peka dan segera menghubungi talian kecemasan.

“Dalam kejadian sebelum ini, rumah jiran di sebelah kediaman saya turut terbakar, tetapi api hanya melibatkan bahagian dapur kerana bantuan dapat diminta dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Pegawai Bomba Kanan 1 Mohd Nasrun Mohamad Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.58 malam.

Menurutnya, jentera BBP Tumpat dan BBP Pengkalan Kubor tiba di lokasi kira-kira jam 10.03 malam.

“Usaha memadam kebakaran membabitkan sebuah rumah yang terbakar 70 peratus,” katanya.

Pasukan bomba menggunakan dua aliran air daripada jentera BBP Tumpat dan dua lagi aliran air daripada jentera BBP Pengkalan Kubor bagi mengawal kebakaran daripada merebak.


Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.24 malam dan kejadian tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!