Warga Emas Maut Dalam Kebakaran Rumah di Pasar Gok Kapor, Jalan PCB

Seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun ditemukan meninggal dunia dalam bilik air selepas rumah dua tingkat yang didiaminya terbakar di Pasar Gok Kapor, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu pada malam Khamis.

Menurut laporan Harian Metro, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.43 malam.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Ridzuan Baharudin berkata, seramai 35 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, BBP Kota Darul Naim dan BBP Pengkalan Chepa bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat jenis kekal berukuran kira-kira 30 kaki panjang dan 50 kaki lebar yang dianggarkan 95 peratus musnah akibat kebakaran berkenaan.

“Terdapat seorang mangsa lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia di dalam bilik air rumah berkenaan,” katanya.

Operasi gunakan dua aliran pam

Menurut laporan Sinar Harian, pihak bomba menerima maklumat mengenai keberadaan seorang mangsa di dalam rumah itu ketika operasi pemadaman sedang dijalankan.

Ridzuan berkata, operasi pemadaman menggunakan dua aliran pam jentera dengan empat pancutan.

“Api berjaya dikawal pada jam 9.24 malam,” katanya.

Operasi itu membabitkan 35 anggota terdiri daripada empat Pegawai Bomba Kanan II, 23 Pegawai Bomba, seorang Pegawai Bomba Bantuan dan tujuh anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pengkalan Chepa.

Ketika laporan awal Harian Metro disiarkan, operasi memadamkan keseluruhan kebakaran masih dijalankan, manakala mayat mangsa masih berada di dalam rumah dan pihak bomba sedang berusaha mengeluarkannya.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.

Sumber: Harian Metro, Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!