Menteri Besar Kelantan Santuni Sembilan Mangsa Kebakaran Wakaf Bharu

Sembilan mangsa kebakaran yang memusnahkan lima kedai dan dua kiosk di hadapan Wisma Majlis Daerah Tumpat (MDT), Wakaf Bharu menerima kunjungan Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Menurut laporan Info Rakyat Kelantan, Mohd Nassuruddin mengadakan kunjungan ziarah itu semalam bersama beberapa pimpinan Kerajaan Negeri.

Beliau turut menzahirkan rasa simpati terhadap semua mangsa yang terkesan akibat kebakaran yang berlaku tiga hari sebelum kunjungan berkenaan.

Menurutnya, kejadian itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui. Namun, setiap ujian daripada Allah SWT merupakan tanda kasih sayang-Nya kepada hamba-Nya, selain menjadi sebab terhapusnya dosa dan diangkat darjat di sisi-Nya.

“Sebagai tanda prihatin, saya bersama pimpinan Kerajaan Negeri turun menyantuni mangsa-mangsa dan menyampaikan sedikit sumbangan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Selasa.

Bekas Guru Antara Mangsa

Salah seorang mangsa kebakaran itu ialah pemilik Teratai Mini Market, Ustaz Abdullah Awang yang pernah menjadi guru kepada Menteri Besar Kelantan suatu ketika dahulu.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu, YB Mohd Rusli Abdullah serta Ketua Jajahan Tumpat, Mohamad Nazwan Ismail.

Mohd Rusli sebelum ini turut menghulurkan bantuan awal kepada mangsa yang terlibat.

Menteri Besar Kelantan turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada anggota bomba yang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran tersebut.

Beliau berharap semua mangsa diberikan kekuatan dan kesabaran, selain dipermudahkan segala urusan untuk membina semula kehidupan serta perniagaan mereka.

“Insya Allah, setiap kesulitan akan disusuli kemudahan,” katanya.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!