APM Rantau Panjang Bantu Urus Pemindahan Jenazah 250kg

Proses pemindahan jenazah seorang lelaki berusia 23 tahun seberat kira-kira 250 kilogram (kg) dari Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian ke Tanah Perkuburan Gual Tinggi, Rantau Panjang mengambil masa hampir lima jam pada Jumaat.

Menurut laporan Sinar Harian, khidmat khas itu dilaksanakan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Rantau Panjang selepas pihaknya menerima panggilan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pegawai Unit Pertahanan Awam Rantau Panjang, Leftenan Mohd Fuad Ismail berkata, pihaknya menerima permintaan bagi melaksanakan khidmat khas CD713 – Bantuan Lain-Lain untuk membantu menguruskan pemindahan jenazah berkenaan.

"Operasi bermula jam 11.01 pagi dan selesai sekitar 3.56 petang, melibatkan seorang pegawai dan dua anggota APM bersama sebuah lori.

"Jenazah dibawa dari HPUSM Kubang Kerian ke Masjid Al-Hidayah untuk disolatkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Gual Tinggi bagi urusan pengebumian," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Penduduk Kampung Turut Bantu

Menurut Mohd Fuad, proses pengendalian jenazah turut mendapat kerjasama penduduk kampung yang bersama-sama membantu anggota APM.

Kerjasama berkenaan bagi memastikan proses pemindahan, pengendalian dan pengebumian jenazah dapat dilaksanakan dengan lancar.

Khidmat khas itu diteruskan sehingga urusan pengebumian selesai.

Menurutnya, bantuan berkenaan dilaksanakan bagi membantu pihak berkaitan menguruskan pemindahan jenazah dari hospital sehingga ke lokasi pengebumian.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!