Suasana di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang kelihatan luar biasa lengang walaupun pada hujung minggu, dipercayai susulan kejadian letupan bom di Tak Bai, Narathiwat, Thailand pada Isnin lalu, lapor Sinar Harian.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati hanya beberapa kenderaan persendirian dan bas pelancongan melintasi sempadan ke Thailand sepanjang tempoh antara jam 6 hingga 8 pagi pada Jumaat.
Pergerakan Merosot Selepas Insiden Bom
Kebanyakan individu yang dilihat berada di ICQS ialah rakyat Thailand yang pulang ke kampung bagi bercuti hujung minggu serta mengecop pasport.
Namun begitu, masih terdapat segelintir penduduk tempatan yang meneruskan perjalanan ke Pekan Sungai Golok, Hatyai dan beberapa lokasi lain bagi urusan keluarga, bercuti serta menikmati makanan di negara jiran.
Seorang penduduk tempatan, Minah Mat, 60, berkata walaupun berasa bimbang selepas kejadian yang mencederakan dua rakyat Malaysia, dia tetap meneruskan perjalanan kerana tempahan ke Hatyai telah dibuat lebih awal.
"Kami ke sana dengan rombongan rakan-rakan. Sudah rancang lama, bayaran telah dibuat.
"Hanya mampu berdoa semoga selamat pergi dan pulang. Bukan tidak bimbang tetapi berharap kejadian itu tidak berulang lagi," katanya.
Pengendali Motosikal Tambang Terjejas
Pengendali motosikal tambang, Rahman Abdullah, 40, berkata suasana pada Jumaat kali ini jauh berbeza berbanding kebiasaan apabila jumlah pengunjung yang memasuki Thailand merosot sejak Selasa lalu.
Menurutnya, kebiasaannya orang ramai sudah memenuhi ICQS seawal jam 6 pagi setiap hari Jumaat untuk ke Thailand.
"Saya dan rakan-rakan hanya mampu termenung. Biasanya hari Jumaat kami tidak menang tangan kerana ramai yang akan masuk ke Thailand untuk makan-makan.
"Kalau hari Jumaat, jam 6 hingga 8 pagi adalah waktu puncak, tetapi kali ini lengang," katanya.
Peniaga Tetap Teruskan Urusan
Seorang peniaga, Rosli Muhamad, 52, berkata dia tetap memasuki Thailand setiap Jumaat bagi mendapatkan bekalan jualan di pasar minggu Pekan Sungai Golok.
Katanya, walaupun menyedari risiko keselamatan, dia sudah biasa dengan keadaan di sana dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa.
"Kita sudah sedia maklum di negara jiran, aktiviti pengeboman sentiasa berlaku. Jadi perlu sentiasa hati-hati dan mengikuti perkembangan semasa melalui media sosial serta media tempatan," ujarnya.
Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan perjalanan ke selatan Thailand jika tiada urusan penting susulan beberapa insiden letupan bom dan tembakan yang berlaku di wilayah berkenaan.
Pada Isnin lalu, dua rakyat Malaysia cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 yang dinaiki mereka terkena letupan bom berhampiran Mukim Phrai Wan, Daerah Tak Bai, Narathiwat kira-kira jam 11.41 pagi waktu tempatan. Kedua-dua mangsa dibawa ke hospital berhampiran sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan lanjut.
Sumber: Sinar Harian
