Seorang graduan dari Kelantan mencuri perhatian apabila tetap menghadiri majlis konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) walaupun sedang hamil lapan bulan dan bakal melahirkan cahaya mata tidak lama lagi.
Nurhanieza Jasni, 24, yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab dengan Kepujian, tidak mahu melepaskan peluang meraikan kejayaan menamatkan pengajian bersama rakan seperjuangan.
Kehadirannya itu mencuri tumpuan ketika Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-18 berlangsung pada Selasa.
Nurhanieza dijangka melahirkan cahaya mata pada hujung bulan ini, namun keadaan itu tidak menghalangnya untuk hadir meraikan detik bersejarah selepas bertahun-tahun berusaha menamatkan pengajian di universiti berkenaan.
Segulung Ijazah Jadi Simbol Pengorbanan
Bagi Nurhanieza, hari konvokesyen membawa makna yang cukup besar kerana bukan sekadar meraikan kejayaan memperoleh ijazah, malah menjadi simbol kesungguhan dan pengorbanan sepanjang menuntut ilmu.
Dia merupakan antara dua graduan UniSZA yang hadir meraikan kejayaan akademik ketika sedang menghitung hari untuk bergelar ibu.
Seorang lagi graduan ialah Dania Ainur Natasya Muzafarnizam, 24, yang berasal dari Negeri Sembilan dan menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Komunikasi dengan Kepujian.
Dania hadir ke majlis berkenaan ketika kandungannya berusia sembilan bulan dan dijangka melahirkan cahaya mata pada November ini.
Detik Konvokesyen Jadi Kenangan Sepanjang Hayat
Dania menyifatkan peluang menghadiri majlis konvokesyen ketika hamil sembilan bulan sebagai pengalaman istimewa yang akan dikenang sepanjang hayat.
“Kalau ikutkan saya dijangka melahirkan cahaya mata pada November ini. Saya teruja dan bersemangat untuk hadir bagi meraikan kejayaan walaupun kandungan semakin sarat dan hampir dengan tarikh jangkaan bersalin.
“Detik ini sememangnya amat bermakna untuk saya lebih-lebih lagi apabila saya sedang menghitung hari untuk bergelar seorang ibu,” ujarnya.
Kisah kedua-dua graduan itu memperlihatkan bagaimana kejayaan akademik boleh menjadi detik yang lebih bermakna apabila diraikan bersama satu lagi fasa penting dalam kehidupan, iaitu menantikan kelahiran cahaya mata.
Sumber: Sinar Harian
