Empat Beradik Kembar dari Kota Bharu Daftar Serentak di UTHM

Empat beradik kembar dari Kota Bharu mencuri perhatian apabila mendaftar serentak sebagai pelajar baharu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat, Johor, malah memilih program pengajian yang sama.

Menurut laporan Bernama, mereka ialah Abid Muttaqin Md Khairuddin, Amir Muttaqin, Aniq Muttaqin dan Adib Muttaqin yang masing-masing berusia 23 tahun.

UTHM menerusi kenyataan memaklumkan, keempat-empat beradik itu merupakan antara 3,302 pelajar baharu program sarjana muda yang mendaftar bagi Semester 1, Sesi Akademik 2026/2027 semalam.

Mereka memilih untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah dengan Kepujian di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP).

Sebelum melanjutkan pengajian ke UTHM, kesemua mereka memperoleh Sijil Penilaian Harta Tanah daripada Institut Penilaian Negara (INSPEN).

“Peluang menyambung pengajian di sini mencetuskan rasa gembira dan teruja selain berdebar kerana perlu berhijrah jauh dari Kelantan dan ia merupakan pengalaman pertama kami masuk universiti,” kata mereka menerusi kenyataan yang dikongsikan UTHM.

Abid Muttaqin berkata, belajar bersama tiga adik-beradiknya memberikan kelebihan kepada mereka kerana dapat mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan tugasan bersama.

Mereka juga boleh saling membantu sepanjang menjalani kehidupan sebagai mahasiswa di universiti berkenaan.

Sediakan RM10,000 untuk pendaftaran

Ibu mereka, Rusmaizuati Mukhatar, 49, yang merupakan seorang suri rumah berkata, antara cabaran dihadapi keluarga itu adalah menyediakan kira-kira RM10,000 bagi menampung kos pendaftaran empat anaknya secara serentak.

Bagaimanapun, beliau dan suaminya, Md Khairuddin Musa, 50, yang bekerja sebagai guru bersyukur kerana urusan serta rezeki keluarga mereka sentiasa dipermudahkan.

UTHM memaklumkan, pendaftaran pelajar baharu kali ini melibatkan lapan fakulti di kampus induk Parit Raja dan Kampus Pagoh.

Kesemua pelajar baharu berkenaan mengikuti Minggu Haluan Siswa yang berlangsung dari 13 hingga 18 September.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!