Impian Nurul Atiqah Husna Azli untuk melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) semakin hampir menjadi kenyataan selepas pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan.
Pelajar cemerlang yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) itu sebelum ini berdepan kekangan kewangan untuk membuat persiapan ke universiti.
Menurut perkongsian 3rd Force Pasir Mas, kisah Atiqah mendapat perhatian ramai sehingga orang ramai tampil memberikan sumbangan bagi meringankan beban keluarganya.
Antara yang membantu ialah Teacherfiera yang menyumbangkan sebuah komputer riba untuk kegunaan Atiqah sepanjang pengajiannya di USM.
Foto: 3rd Force Pasir Mas
Komputer riba tersebut telah diserahkan kepada Atiqah di kediamannya bersama sedikit sumbangan wang daripada orang ramai.
Pengajian Bakal Ditaja Sepenuhnya
Dalam perkembangan sama, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa beliau sudah menghubungi Naib Canselor USM selepas menerima banyak tanda nama daripada pengguna media sosial berhubung kisah Atiqah.
Menurut perkongsian Asyraf Wajdi di media sosial, pihak USM bersetuju membantu menaja sepenuhnya pengajian pelajar berkenaan, manakala Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan membantu persiapannya ke universiti.
“Ramai yang tagged saya perihal anak yatim piatu cemerlang STPM PNGK 4.0. Alhamdulillah saya sudah hubungi Naib Chanselor USM dan beliau setuju untuk bantu taja sepenuhnya. MARA juga akan bantu persedian pelajar untuk ke USM,” katanya.
MAIK Salur Bantuan RM4,200
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) turut tampil menyampaikan bantuan segera kepada Atiqah bagi meringankan beban persiapannya.
Foto: MAIK
Menurut kenyataan MAIK, bantuan itu merangkumi Bantuan Am berjumlah RM1,200 dan sumbangan khas sebanyak RM3,000.
Sumbangan keseluruhan RM4,200 itu bertujuan membantu menampung keperluan persiapan ke universiti serta perbelanjaan sementara menunggu biasiswa pengajian di USM.
MAIK turut bersetuju memberikan bantuan bulanan sebanyak RM400 kepada datuk dan nenek Atiqah yang selama ini bergantung kepada pemberian wang belanja daripada anak lelaki mereka serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Bantuan tersebut disampaikan ketika wakil MAIK menziarahi keluarga Atiqah di Kampung Tal Tujuh, Pasir Mas.
Atiqah turut dinasihatkan supaya menggunakan peluang pendidikan yang diterimanya dengan sebaik mungkin, belajar bersungguh-sungguh dan mencapai cita-cita untuk menjadi seorang guru Sejarah.
Atiqah dan keluarganya merakamkan penghargaan kepada semua pihak, termasuk pembayar zakat serta orang ramai yang menyumbang dan mendoakan kejayaannya.
Sumber: 3rd Force Pasir Mas, MAIK, Dr Asyraf Wajdi
