Cemburu Dipercayai Jadi Punca Wanita Maut Ditikam Suami

Seorang wanita berusia 39 tahun maut selepas dipercayai ditikam suaminya sebanyak 13 kali menggunakan sebilah pisau lipat di rumah mereka di Taman Tiram, Kulim Hi-Tech, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, suspek berusia 43 tahun hadir ke Balai Polis Lunas kira-kira pukul 8.40 malam dan memaklumkan bahawa dia menikam isterinya.

Lelaki itu turut menyerahkan sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

“Tempat kejadian adalah rumah teres setingkat dan kejadian berlaku dalam bilik tidur utama yang didiami suspek, mangsa serta anak mereka berusia tiga tahun.

“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan dipercayai darah pada cadar tilam, bantal, kepala katil serta beberapa barangan di atas katil.

“Sepasukan anggota dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hadir dan mengambil 11 sampel berkaitan kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada pertengkaran antara pasangan berkenaan berkaitan isu cemburu.

Menurut Syamsul, suspek mengaku menikam mangsa sebanyak 13 kali, membabitkan tujuh tikaman di dada, lima di perut dan satu di rusuk kanan.

Ambil anak dari rumah pengasuh

Selepas kejadian, suspek dipercayai mandi sebelum mengambil anaknya dari rumah pengasuh.

“Selepas kejadian, suspek kemudian mandi dan mengambil anaknya daripada pengasuh sebelum menyerahkan kepada kakaknya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru, Pulau Pinang.

“Suspek turut memaklumkan kepada kakaknya dia menikam isterinya sebelum ke Balai Polis Lunas untuk menyerah diri,” katanya.

Mangsa dibawa ke Hospital Kulim oleh ahli keluarganya sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 9.30 malam.

Suspek pula ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim di Balai Polis Lunas pada pukul 9 malam.

“Sebilah pisau lipat berukuran kira-kira 20 sentimeter dirampas sebagai barang kes. Hasil temu bual awal dengan jiran mendapati mereka tidak mendengar pertengkaran dipercayai akibat hujan lebat ketika kejadian.

“Suspek berasal dari Parit Buntar, Perak adalah penganggur, namun hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia bebas dadah dan tiada rekod jenayah,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk proses bedah siasat.

Setakat ini, polis percaya kejadian berpunca daripada pertengkaran berkaitan cemburu dan masalah rumah tangga.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!