Masalah rangkaian telefon mudah alih yang didakwa berlarutan hampir dua tahun mencetuskan tindakan luar biasa sekumpulan penduduk di Uttar Pradesh, India apabila mereka mengikat seorang juruteknik pada menara telekomunikasi.
Kejadian berlaku di Kampung Hardauli, daerah Fatehpur pada Khamis lalu ketika juruteknik terbabit, Aditya Bhan Singh hadir untuk memeriksa gangguan sambungan yang dihadapi penduduk.
Menurut polis, penduduk mendakwa perkhidmatan rangkaian mudah alih terutama 5G masih bermasalah walaupun sebuah menara telekomunikasi telah dipasang di kampung berkenaan.
Sekumpulan penduduk kemudian mengikat juruteknik tersebut pada menara sebagai tanda protes, selain mendesak agar masalah rangkaian 5G diselesaikan.
Rakaman kejadian itu turut tersebar di media sosial dan menerima pelbagai reaksi daripada warganet.
Lima Individu Ditahan
Ketua Polis Fatehpur, Abhimanyu Manglik mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Seramai lima individu telah ditahan bagi membantu siasatan.
Penduduk di kawasan itu mendakwa kelemahan liputan internet yang dialami bukan sekadar gangguan sementara, sebaliknya sudah lama menjejaskan kehidupan harian mereka.
