Bekas tapak Pasar Besar Bandar Machang dirancang untuk dibangunkan sebagai sebuah dewan terbuka yang dianggarkan mempunyai keluasan lantai 55,000 kaki persegi.
Dewan berkenaan dijangka mampu menampung lebih 2,000 orang pada satu-satu masa dan berpotensi menghidupkan semula kegiatan ekonomi di bandar lama Machang.
Perancangan itu dikongsikan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah selepas melakukan tinjauan ke tapak berkenaan pada Isnin.
Tinjauan tersebut turut disertai Yang Dipertua Majlis Daerah Machang, Mohd Zamri Ibrahim.
Apabila siap kelak, dewan terbuka itu akan dijadikan tapak penganjuran karnival, pameran dan jualan untuk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).
Kemudahan itu juga sesuai digunakan bagi penganjuran program keagamaan dan ilmiah.
“Bermula Julai 2026, tapak Pasar Besar ini telah dikosongkan apabila semua peniaga dipindahkan ke Bandar Baru Sri Mentara bersebelahan Jalan Besar Kuala Krai–Kota Bharu, yang menawarkan ruang dan kemudahan lebih selesa serta luas dengan suasana baharu,” katanya menerusi hantaran media sosialnya pada Isnin.
Tapak menyimpan nostalgia sejak 1970-an
Pasar Besar Machang di bandar lama menyimpan pelbagai kenangan dalam kalangan penduduk selepas dibina pada era 1970-an.
Sepanjang beroperasi, pasar tersebut banyak menyumbang kepada kegiatan ekonomi dan menjadi sumber rezeki peniaga kecil di Jajahan Machang.
“Pembinaan dewan terbuka ini diharapkan dapat mengembalikan semula sumbangan dan kegemilangan tapak asal pasar ini dalam membantu ekonomi peniaga serta penduduk di bandar lama Machang,” ujarnya.
Pembangunan tersebut diharapkan dapat memberikan fungsi baharu kepada bekas tapak pasar berkenaan, di samping merancakkan semula kegiatan ekonomi penduduk dan peniaga di bandar lama Machang.
Sumber: inforakyat.kelantan.my
