KOTA BHARU – Laluan sepanjang kira-kira 11 kilometer di Kampung Tembesu Limbat dilaporkan mempunyai lima jambatan sempit yang berisiko membahayakan pengguna jalan raya, terutama ketika waktu puncak.
Wakil penduduk, Razali Ibrahim, 55, berkata kebanyakan jambatan itu merupakan struktur lama yang dibina sejak 1970-an. Menurutnya, hanya sebuah jambatan sedang dibaiki manakala empat lagi masih sempit dan membahayakan pengguna di Jalan Mulong Tendong.
“Hanya sebuah jambatan sepanjang 25 meter dan jalan 200 meter sedang dinaiktaraf di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Kampung Tembesu Limbat. Jalan di jambatan sempit dan ada selekoh amat merbahaya,” katanya selepas meninjau projek tersebut.
Seorang lagi penduduk, Che Mat Ariffin Che Daud, 58, berkata kerajaan sudah membuat pengambilan tanah bagi projek pembesaran jalan bermula di Kampung Tembesu Limbat sehingga Kampung Keling sepanjang kira-kira 700 meter pada tahun 2010, termasuk proses pembayaran pampasan kepada penduduk. Namun, selepas 15 tahun projek tersebut masih belum dilaksanakan.
Menurutnya, penduduk telah membuat aduan kepada agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) lima tahun lalu, tetapi tiada tindakan sehingga isu itu mendapat perhatian Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tuan Ibrahim sebelum ini pada 11 November 2024 membangkitkan perkara sama dalam Usul Kamar Khas Parlimen kepada Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, dan menyenaraikan 24 jambatan di Parlimen Kubang Kerian yang memerlukan baik pulih — termasuk lima jambatan sempit di Jalan Mulong Tendong.
Penduduk berharap kerajaan dan agensi berkaitan segera menyelesaikan masalah itu demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
#KelantanDaily
Sumber: A Rahman Harun, Media Point
