Lebih Awal Sebulan, ECRL Kota Bharu–Gombak Disasar Beroperasi Disember Ini

Perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Fasa 1 yang menghubungkan Kota Bharu dan Gombak disasarkan mula beroperasi pada Disember 2026, sebulan lebih awal daripada jadual asal pada Januari 2027.

Menurut laporan Bernama, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata sasaran itu bergantung kepada kelancaran proses ujian dan pentauliahan yang sedang dilaksanakan tanpa sebarang kompromi terhadap keselamatan.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) bersama kontraktor utama, China Communications Construction Company Ltd (CCCC), diminta mempercepat proses berkenaan supaya perkhidmatan dari Kelantan ke Selangor dapat dimulakan menjelang cuti hujung tahun.

“Kita cuba melihat bagaimana Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) boleh membantu memudahcarakan urusan berkaitan proses ujian dan pentauliahan bagi mempercepat projek ini tanpa kompromi terhadap keselamatan.

“Biasanya ia mengambil masa dua hingga tiga bulan, jadi kita nak lihat bagaimana dapat dipendekkan masa tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Comprehensive Inspection Train (CIT), Pengenalan Konsep Reka Bentuk Stesen-Stesen Utama ECRL serta Permulaan Ujian Integrasi Sistem (SIT) dan Fault-Free Run (FFR) di Stesen Terminal Bersepadu Gombak pada Jumaat.

Tren Perlu Jalani Ujian 8,000 Kilometer

Loke berkata usaha mempercepat operasi dibuat berdasarkan penilaian bahawa pelbagai ujian terhadap tren sudah dilaksanakan sebelum ia dihantar ke Malaysia, termasuk ujian di kilang di China.

SIT yang bermula pada Ogos akan menguji integrasi pelbagai sistem termasuk bekalan elektrik dan sistem isyarat sebelum FFR dilaksanakan pada September.

Set tren pertama dan lokomotif elektrik atau E-Loco masing-masing perlu menjalani FFR sejauh 8,000 kilometer di bawah kawal selia APAD.

Ujian itu bertujuan memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan operasi memenuhi piawaian serta keperluan perundangan yang ditetapkan.

“FFR merupakan antara proses penting sebelum operasi komersial kerana tren akan bergerak di landasan dalam keadaan sebenar, namun tidak membawa penumpang,” katanya.

Semua ujian terdahulu perlu diselesaikan dan diluluskan sebelum FFR boleh dilaksanakan.

Loke menegaskan usaha memendekkan tempoh berkenaan tidak bermaksud mana-mana proses keselamatan akan diketepikan.

“Kita lebih takut daripada anda. Saya lebih takut daripada anda kalau ada risiko. Sudah tentu kita mengambil semua pertimbangan,” katanya.

Fasa Pertama 95.08 Peratus Siap

Setakat Julai 2026, kemajuan keseluruhan ECRL Fasa 1 yang menghubungkan Kota Bharu dengan Gombak sudah mencapai 95.08 peratus.

Fasa 2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang pula dijangka siap pada Disember 2027 sebelum mula beroperasi pada Januari 2028.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi MRL, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Haji Habibollah; Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri M Jana Santhiran; Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan Presiden CCCC, Zhang Bingnan.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!