171 Individu Ditahan Rentas Sempadan Malaysia-Thailand Secara Haram di Kelantan

Seramai 171 individu ditahan kerana menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand secara haram di Kelantan sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos lalu.

Menurut laporan Bernama, Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, jumlah berkenaan terdiri daripada 110 rakyat Malaysia, 58 warga Thailand serta masing-masing seorang warga Indonesia, Myanmar dan Nigeria.

Kesemua individu berusia antara 20 hingga 60 tahun itu ditahan menerusi Ops Taring Wawasan. Mereka terdiri daripada 137 lelaki dan 34 wanita.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

“Antara faktor yang mendorong individu tersebut menggunakan laluan haram termasuk mahu menggelak pemeriksaan di pintu keluar dan masuk yang sah, pergi berhibur, ziarah keluarga, masalah dokumen perjalanan dan memasuki Malaysia untuk bekerja (bagi warga Thailand),” katanya ketika dihubungi Bernama.

Naik Bot Tambang Melalui Pangkalan Haram

Ahmad Radzi berkata, kebanyakan individu yang ditahan dipercayai keluar atau memasuki Malaysia melalui pangkalan haram dengan menaiki bot tambang.

Tambang yang dikenakan adalah antara RM5 hingga RM10, bergantung kepada waktu tertentu.

Pemantauan pihak berkuasa mendapati laluan tidak diwartakan masih cuba digunakan kerana terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan dengan membantu individu menyeberangi sempadan tanpa melalui prosedur ditetapkan.

“Kita akan terus memperketat kawalan dan meningkatkan rondaan di kawasan yang dikenal pasti berisiko khususnya di sepanjang Sungai Golok.

“Tindakan penguatkuasaan turut memberi tumpuan kepada kegiatan penyeludupan migran dan pihak yang cuba membantu kemasukan warga asing secara tidak sah,” katanya.

PGA akan terus memperkukuh kawalan di sempadan bagi membendung pencerobohan, penyeludupan dan kegiatan merentas sempadan secara haram.

Langkah itu penting bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terus terpelihara.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!