Kerajaan Thailand mengisytiharkan pelaksanaan undang-undang tentera di 13 daerah di Narathiwat susulan serangan bersenjata yang mengorbankan lima anggota renjer pada Rabu lalu.
Menurut laporan Bernama, langkah itu diambil bagi memudahkan operasi memburu suspek serta memperketat kawalan keselamatan di wilayah bergolak berkenaan.
Panglima Tentera Narathiwat, Mejar Jeneral Yod-Arwut Phuengpak berkata, pelaksanaan undang-undang itu memberi kuasa lebih luas kepada pasukan keselamatan untuk mengesan, mengepung dan menahan suspek.
"Dalam menjalankan tugas, pegawai dibenarkan menggunakan senjata api sekiranya berdepan individu yang disyaki boleh mengancam keselamatan anggota yang bertugas," katanya selepas mengumumkan perintah itu pada Jumaat.
Sekatan Jalan Raya Boleh Diadakan Bila-Bila Masa
Beliau berkata, pihak tentera turut diberi kuasa mengadakan sekatan jalan raya pada bila-bila masa di seluruh Narathiwat sekiranya terdapat maklumat bahawa suspek berada di kawasan berkenaan.
Perintah undang-undang tentera itu berkuat kuasa serta-merta sehingga dimaklumkan kelak.
Susulan Serangan Yang Korbankan Lima Renjer
Pada Rabu lalu, enam lelaki bertopeng dan berpakaian gelap menyerang sebuah pusat pemeriksaan keselamatan di Bukit Sami, daerah Rangae, kira-kira jam 6.45 petang waktu tempatan.
Dalam serangan itu, kumpulan berkenaan melepaskan tembakan serta melontar bom paip ke arah anggota keselamatan.
Insiden tersebut mengorbankan lima anggota renjer, manakala enam orang awam turut cedera termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.
Sumber: Bernama
