Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menjelaskan peningkatan kos Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok, Kelantan daripada RM198.02 juta kepada RM601.20 juta berpunca daripada penyesuaian skop berdasarkan keperluan teknikal dan keadaan semasa.
PETRA dalam satu kenyataan memaklumkan, peningkatan nilai kontrak berkenaan antara lain melibatkan kerja menaik taraf Jalan Keselamatan dan Pembangunan (KESBAN) mengikut piawaian Jalan Persekutuan.
Selain itu, skop projek turut melibatkan pembinaan jambatan, struktur alur limpah serta penyelarasan reka bentuk rumah pam.
Menurut kementerian itu, penyesuaian skop dan reka bentuk perlu dilaksanakan bagi memastikan infrastruktur yang dibina memenuhi keperluan fungsi, keselamatan dan ketahanan untuk tempoh panjang.
Ia termasuk mengambil kira risiko cuaca ekstrem serta perubahan iklim.
“Pelaksanaan projek turut dipengaruhi oleh kekangan teknikal di tapak, termasuk pengalihan utiliti, pengambilan tanah dan penyelarasan lukisan pembinaan.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan penduduk, harta benda dan infrastruktur awam di kawasan yang terdedah kepada risiko banjir terus dilindungi,” jelas kenyataan itu pada Selasa.
Kos Melonjak Lebih Tiga Kali Ganda
Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Bil. 2/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat mendedahkan peningkatan ketara nilai projek PLSB Sungai Golok.
Jabatan Audit Negara (JAN) membangkitkan persoalan terhadap peningkatan nilai kontrak keseluruhan projek berkenaan yang meningkat lebih tiga kali ganda daripada RM198.02 juta kepada RM601.20 juta.
Menurut dapatan audit, peningkatan kos itu dikaitkan dengan kelemahan pada peringkat perancangan awal yang menyebabkan perubahan besar terhadap skop kerja ketika projek sedang dilaksanakan.
Antara perubahan tersebut termasuk pembinaan struktur alur limpah tambahan, pembinaan jambatan baharu serta keperluan menaik taraf Jalan KESBAN mengikut spesifikasi lebih tinggi.
Aduan Dikemukakan Kepada Lembaga Jurutera Malaysia
Susulan penemuan LKAN itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut mengambil tindakan susulan berkaitan pengurusan perunding projek berkenaan.
Satu aduan rasmi telah dikemukakan kepada Lembaga Jurutera Malaysia (BEM).
JPS juga mengambil langkah memperkemas pengurusan perkhidmatan perunding serta terma kontrak bagi meningkatkan kejelasan tanggungjawab dan akauntabiliti.
PETRA dan JPS berkata, dapatan LKAN diterima sebagai mekanisme semakan penting untuk mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam pelaksanaan projek kerajaan.
Menurut kementerian itu, langkah berkenaan penting bagi memastikan projek dapat dilaksanakan secara lebih telus dan berkesan.
Sumber: Sinar Harian
