Tiada Militan Cuba Masuk Kelantan, PGA Tingkat Kawalan Sempadan

Pasukan Gerakan Am (PGA) meningkatkan kawalan keselamatan di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand susulan siri pengeboman dan keganasan yang berlaku serentak di tiga wilayah Selatan Thailand malam tadi.

Bagaimanapun, setakat ini PGA tidak menerima sebarang maklumat mengenai cubaan militan atau gerila dari negara jiran memasuki Kelantan.

Menurut laporan Bernama, Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, semua petugas barisan hadapan telah diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang cubaan kemasukan melalui kawasan sempadan.

“Memang kami sentiasa memperketatkan kawalan sempadan dan mengingatkan petugas barisan hadapan sekiranya ada kejadian atau pihak yang cuba masuk ke arah kita, kami akan ambil tindakan,” katanya pada Ahad.

Menurut beliau, isu yang masih dikesan berlaku di kawasan berkenaan setakat ini ialah kemasukan pendatang tanpa izin.

Kerjasama Malaysia-Thailand Berada pada Tahap Terbaik

Ahmad Radzi berkata, kerjasama antara pihak berkuasa Malaysia dan Thailand berada pada tahap terbaik, termasuk menerusi platform Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC).

Platform berkenaan menjadi saluran pertukaran maklumat berkaitan keselamatan di kawasan sempadan kedua-dua negara.

Mesyuarat RBC yang dijadual berlangsung di Hat Yai, Thailand dari 1 hingga 3 September ini akan disertai Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat; Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah; Pemangku Ketua Polis Perlis; Ahmad Radzi serta wakil Angkatan Tentera Malaysia.

“Memang kami sentiasa bertukar-tukar maklumat dan setakat ini kerjasama kami dengan pihak berkuasa Thailand memang baik,” katanya.

RBC mempunyai enam kumpulan kerja meliputi aspek pengurusan sempadan, darat, bencana dan risikan bagi memperkukuh kerjasama keselamatan antara Malaysia dengan Thailand.

Rondaan Dipertingkat di Rantau Panjang

Tinjauan Bernama di Pekan Rantau Panjang pada Ahad mendapati anggota PGA meningkatkan rondaan dan pemantauan di beberapa lokasi, termasuk laluan utama menuju ke sempadan.

Langkah itu diambil bagi memperkukuh kawalan keselamatan susulan perkembangan terbaharu di Selatan Thailand.

Mohd Yusoff turut mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia menjadi mangsa dalam siri pengeboman dan keganasan yang berlaku serentak di tiga wilayah berkenaan.

Beliau meminta rakyat Malaysia supaya berhati-hati dan menangguhkan perjalanan ke negara jiran itu sekiranya tidak mempunyai urusan penting.

Terdahulu, wilayah Narathiwat dikenakan perintah berkurung bermula jam 10.15 malam tadi hingga 5 pagi selepas lebih 50 insiden dilaporkan berlaku di tiga wilayah Selatan Thailand.

Kejadian tersebut termasuk pengeboman, pembakaran pejabat kerajaan tempatan dan pembakaran tayar.

Letupan kuat dari arah Narathiwat turut menggegarkan kediaman serta menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk di sempadan Malaysia-Thailand, termasuk di Kampung Lubok Gong dan Kampung Tersang, Rantau Panjang.

Sumber: Bernama


TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!