Selepas tiga hari tanpa perkembangan, gajah jantan dikenali sebagai Sulong Chalil didakwa muncul semula di tepi jalan dan sedang bergerak kembali ke arah Titiwangsa.
Menurut laporan Kosmo, kemunculan Sulong dikongsikan seorang pengguna Threads, @fynaasha yang mendakwa terserempak dengan haiwan itu kira-kira pukul 8.03 pagi.
“Pagi ini ada nampak Sulong jalan balik hala Titiwangsa,” tulisnya.
Pengguna berkenaan berkata, dia sedang melalui laluan dari Titiwangsa ketika terserempak dengan Sulong.
Pada awalnya, dia sekadar menyebut kemungkinan akan bertemu gajah tersebut sebelum beberapa kenderaan di hadapannya memberikan isyarat lampu tinggi.
“Baru je cakap kot jumpa gajah Sulong, tak lama lepas tu kereta bagi high beam (lampu tinggi), kawasan sini kalau high beam (lampu tinggi) selalunya ada gajah.
“Tengok-tengok Sulong ada tepi jalan tengah menghala Titiwangsa, betul lah kaki dia dah kering,” katanya.
Keadaan kaki dilihat semakin pulih
Perkongsian itu turut disertakan dengan rakaman video yang memaparkan Sulong berada di tepi jalan.
Keadaan kaki gajah tersebut yang sebelum ini menjadi perhatian ramai dilihat semakin kering dan menunjukkan tanda pemulihan.
Bagaimanapun, lokasi serta keadaan kesihatan terkini Sulong belum mendapat pengesahan rasmi daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Wanita itu berkata, dia akan menggunakan laluan sama sekali lagi dan berjanji berkongsi perkembangan sekiranya terserempak dengan Sulong.
“Esok saya lalu lagi kawasan sini, kalau nampak Sulong saya akan update (kongsi perkembangan),” katanya.
Orang ramai lega Sulong kembali kelihatan
Perkongsian tersebut menerima respons orang ramai yang melahirkan rasa syukur selepas mengetahui perkembangan terkini Sulong.
Pengguna Threads, @aireneia berkata, dia lega apabila menerima khabar mengenai gajah berkenaan.
“Alhamdulillah, terima kasih kongsi perkembangan berkaitan Sulong,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @sarahbelle_04 turut melahirkan rasa syukur apabila luka pada kaki Sulong dilaporkan sudah kering.
Sementara itu, @zura_nasri berharap perkembangan mengenai perjalanan gajah tersebut terus dikongsikan kepada orang ramai.
“Terima kasih info…mohon kongsi ye,” katanya.
Sumber: Kosmo, Threads @fynaasha
