Sebanyak 4,054 unit rokok elektronik atau vape antara 4,518 unit barangan rampasan yang dilupuskan dan dimusnahkan oleh Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) pada Khamis.
Selain vape, barangan lain yang turut dimusnahkan ialah 90 peralatan dan aksesori shisha serta 256 unit mercun dan bunga api.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, pelupusan itu menjadi mesej jelas mengenai keseriusan MDPP dalam melaksanakan penguatkuasaan.
Menurutnya, kesemua barangan berkenaan dirampas menerusi 12 operasi bersepadu yang dijalankan bersama agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
Kelantan Tidak Keluarkan Lesen Perniagaan Vape
Hilmi berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan tidak mengeluarkan lesen khusus bagi perniagaan penjualan vape sejak 2013.
Katanya, pada 16 Disember 2015, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan turut memuktamadkan dan melaksanakan keputusan melarang penjualan vape melalui kawalan pelesenan oleh PBT.
“Larangan penjualan vape ini adalah selari dengan falsafah Dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang menjadi asas kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan sejak tahun 1990.
“Menurut Islam, pembangunan bukan sekadar secara fizikal, ekonomi dan infrastruktur, malah perlu melibatkan pembinaan masyarakat yang sihat dari segi jasmani, rohani, akhlak dan pemikiran,” katanya.
Lindungi Kesihatan Generasi Muda
Hilmi yang turut menyertai majlis pelupusan itu menegaskan bahawa tindakan berkenaan mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam melindungi kesihatan rakyat, khususnya golongan muda, daripada ancaman ketagihan nikotin.
Beliau turut mengingatkan peniaga supaya tidak mengutamakan keuntungan sehingga mengabaikan kesihatan generasi akan datang.
“Janganlah kerana keuntungan perniagaan hari ini, kita menggadaikan kesihatan generasi masa hadapan.
“Kita mahu melihat anak-anak Kelantan membesar dengan tubuh yang sihat, akal yang cerdas, akhlak yang terpelihara dan masa depan yang sejahtera. Inilah tuntutan pembangunan yang kita perjuangkan melalui Dasar Membangun Bersama Islam,” ujarnya.
MDPP menerusi operasi penguatkuasaan bersepadu akan terus mengambil tindakan terhadap kegiatan yang melanggar peraturan berkaitan, selaras dengan usaha menjaga kepentingan dan kesejahteraan masyarakat.
Sumber: inforakyatkelantan.my
