Lebih 2,000 penduduk di lima kampung bawah Mukim Kemasin, Bachok kini berdepan ancaman anjing liar yang didakwa semakin serius sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Penghulu Mukim Kemasin, Raja Zainuddin Raja Daud berkata, masalah berkenaan sudah berlaku sejak 2018 dan semakin membimbangkan sejak tiga tahun lalu susulan pertambahan jumlah anjing yang berkeliaran.
Menurutnya, jumlah anjing liar di kawasan berkenaan dipercayai kini mencecah lebih 100 ekor, melibatkan Kampung Tar, Kampung Raja, Kampung Kedondong, Kampung Merabang dan Kampung Kelupang.
Didakwa Ada Pihak Buang Anjing
Raja Zainuddin berkata, kehadiran haiwan terbabit dipercayai berpunca daripada tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menjadikan kawasan sekitar sebagai lokasi pembuangan anjing.
Katanya, terdapat penduduk yang mendakwa pernah melihat kenderaan dari arah Kota Bharu menurunkan sekumpulan anjing di beberapa lokasi seperti Pengkalan Petah, Merabang dan sekitar Pantai Kemasin kira-kira jam 3 pagi.
Haiwan berkenaan kemudiannya dipercayai berkeliaran hingga ke kawasan kampung berhampiran.
"Kehadiran anjing liar yang banyak ini menimbulkan ketakutan kepada penduduk terutamanya warga emas dan kanak-kanak.
"Sebelum ini haiwan terbabit turut memakan haiwan ternakan seperti ayam, lembu, kambing, itik malah beruk peliharaan penduduk turut menjadi mangsa, dan kini menyerang manusia pula," katanya ketika ditemui di Kampung Tar, di sini.
Penduduk Dakwa Sudah Buat Aduan
Raja Zainuddin berkata, pihaknya sebelum ini sudah mengemukakan laporan bertulis kepada pihak berkaitan termasuk Jabatan Veterinar dan Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam (MDB-BPI).
Bagaimanapun, beliau mendakwa masih belum ada tindakan yang dapat menyelesaikan masalah berkenaan.
Menurutnya, keadaan itu turut dikhuatiri memberi kesan kepada sektor pelancongan di Pantai Kemasin yang mempunyai resort serta menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar Kelantan.
Penduduk kampung, Khadijah Isa, 69, pula berkata, anjing liar berkenaan boleh dilihat berkeliaran di sekitar kawasan rumah penduduk pada setiap masa.
Katanya, kebimbangan semakin meningkat selepas haiwan berkenaan didakwa sudah menyerang manusia.
Dia turut bimbang dengan keselamatan cucu-cucunya selain keselamatan warga emas di kawasan tersebut.
Sementara itu, Nur Syafiqa Rosmarozi, 23, berkata, anjing liar yang berkeliaran bukan sahaja banyak, malah didakwa bersaiz besar dan garang.
Beliau turut melahirkan kebimbangan kemungkinan haiwan terbabit dijangkiti penyakit rabies.
Kanak-kanak 8 Tahun Parah Diserang Lima Anjing
Kebimbangan penduduk semakin memuncak selepas seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, Azuar Firdaus Zuraiman, parah selepas diserang lima ekor anjing liar ketika bermain pasir di Pantai Kemasin pada Khamis lalu.
Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu.
Dia dilaporkan menjalani pembedahan selama lima jam selain perlu mendapatkan vaksin antirabies selama tiga minggu bagi mengelakkan jangkitan.
Kejadian itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan penduduk terhadap keselamatan orang ramai, khususnya kanak-kanak dan warga emas yang tinggal berhampiran kawasan berkenaan.
Sumber: Harian Metro
