Kes Khianat Masjid di Tumpat, Lelaki 38 Tahun Direman Empat Hari

Seorang lelaki berusia 38 tahun direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes khianat membabitkan perbuatan menyimbah cecair berbau busuk di ruang solat Masjid Al-Aziz, Kota SPP Warisan, Tumpat.

Perintah reman terhadap lelaki itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi dan berkuat kuasa mulai hari ini hingga Selasa depan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, lelaki berkenaan ditahan di Kota Bharu untuk siasatan lanjut.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 295 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Pintu kaca masjid turut dipecahkan

Sebelum ini, polis dilaporkan sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian khianat di masjid berkenaan.

Kejadian itu dikesan selepas polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 6.35 pagi pada 5 Oktober lalu.

Menurut Mohd. Khairi, pemeriksaan awal mendapati pintu kaca masjid telah dipecahkan sebelum cecair berbau busuk dituang di ruang solat.

“Semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup turut mendapati seorang lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan jumlah kerosakan atau kerugian yang dialami,” katanya.

Penahanan lelaki itu dibuat bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.

Sumber: Kosmo

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!