Pendang, Kuala Krai Rekod Kadar Pembabitan Kes Dadah Tertinggi

Pendang di Kedah dan Kuala Krai di Kelantan disenaraikan antara daerah yang merekodkan kadar pembabitan kes dadah tertinggi di negara ini, menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, kadar berkenaan dikira berdasarkan jumlah individu yang terbabit dalam kes dadah bagi setiap 100,000 penduduk, menggunakan piawaian antarabangsa yang diterima pakai Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

Menurutnya, empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu turut merekodkan kadar pembabitan kes dadah melebihi ambang nasional.

Tiga daerah di Kelantan turut dikenal pasti kritikal

Selain Kuala Krai, Tumpat, Tanah Merah dan Bachok di Kelantan turut dikenal pasti sebagai daerah kritikal.

Besut di Terengganu juga tersenarai apabila daerah berkenaan merekodkan kadar melebihi 1,000 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

"Semua ini membimbangkan kita dan ia bukan hanya membabitkan satu negeri.

"Selain Kelantan, tiga negeri lain turut menunjukkan angka yang membimbangkan serta trend yang meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Kementerian Dalam Negeri di Sekolah Kebangsaan Jambu Lawar, hari ini.

Penyalahgunaan dadah dalam kalangan kanak-kanak membimbangkan

Saifuddin berkata, trend penyalahgunaan dadah dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 15 tahun juga semakin membimbangkan.

Pada masa sama, golongan berusia antara 15 hingga 39 tahun kekal sebagai kumpulan terbesar yang terbabit berdasarkan profil sedia ada.

Justeru, beliau berkata langkah pencegahan lebih menyeluruh perlu dilaksanakan, termasuk pendidikan awal serta pembabitan ibu bapa bagi mengelakkan golongan muda terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

"Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mempunyai tiga fungsi utama iaitu pendidikan dan pencegahan, penguatkuasaan serta pemulihan.

"Kita mesti memperkukuh pendidikan awam bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan keluarga mengambil tindakan pencegahan," katanya.

Kawalan sempadan Kelantan-Thailand diperkukuh

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata beliau telah mengarahkan Ketua Polis Kelantan memastikan kawalan keselamatan dilaksanakan sepanjang masa di semua laluan sempadan Kelantan-Thailand.

Strategi itu merangkumi usaha mengekalkan kehadiran polis yang jelas, merobohkan pangkalan haram serta menguatkuasakan Akta Imigresen terhadap pergerakan merentas sempadan tanpa dokumen sah.

Bagaimanapun, beliau mengakui langkah berkenaan tidak mampu menghapuskan masalah itu sepenuhnya kerana jenayah berkaitan dadah merupakan sebahagian daripada rangkaian jenayah terancang yang telah beroperasi sejak berdekad lalu.

"Tindakan kita boleh membantu mengurangkan masalah ini, tetapi ia tidak dapat menghapuskannya secara total.

"Ini tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri dan pihak polis, namun ia masih belum mencukupi. Ia harus menjadi tanggungjawab bersama," katanya.

Sumber: Berita Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!