Pemandu dan semua penumpang sebuah kereta disyaki rentung selepas kenderaan mereka dihempap sebuah lori tangki yang terbalik sebelum kedua-duanya musnah dalam kebakaran.
Menurut laporan Sinar Harian, kemalangan berlaku di Kilometer 9, Jalan Temerloh–Triang berhampiran Kampung Lebak, Temerloh, kira-kira jam 4.30 petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, jumlah dan butiran mangsa di dalam kereta masih belum dikenal pasti.
Pemandu lori tangki berusia 37 tahun pula terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Lori Membawa 32,000 Liter Bahan Api
“Siasatan awal mendapati kemalangan kira-kira jam 4.30 petang itu berlaku ketika lori tangki membawa muatan 32,000 liter diesel dan petrol dalam perjalanan dari Seremban, Negeri Sembilan menghala ke Temerloh.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk laluan bertentangan,” katanya.
Kereta dinaiki mangsa dipercayai gagal mengelak sebelum melanggar bahagian sisi lori tangki berkenaan.
“Akibat kejadian lori terbabit terbalik menghempap kereta sebelum di kedua-duanya terbakar.
“Pemandu dan penumpang yang belum pasti bilangannya tersepit dan rentung dalam kereta yang remuk,” katanya.
Bomba Ambil Masa Padam Kebakaran
Mohd Nasyim berkata, pasukan bomba mengambil masa untuk memadamkan kebakaran kerana ia melibatkan bahan api.
Pasukan penyiasat masih berada di lokasi bagi mengesahkan jumlah dan butiran semua mangsa yang terlibat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pemandu lori kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
