Tudung Terbelit pada ‘Role Gate’, Pekerja JPS Ditemukan Maut

Seorang pekerja Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) maut selepas tudung yang dipakainya dipercayai terbelit pada ‘role gate’ di Kunci Air Grand Sabak Hotel, Sabak Bernam, pada Sabtu.

Menurut laporan Sinar Harian, kejadian berlaku kira-kira jam 3.35 petang membabitkan mangsa wanita berusia 56 tahun yang bekerja di kunci air berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 3.35 petang.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam tiba di lokasi kira-kira tiga minit kemudian.

“Komander operasi melaporkan seorang wanita berusia 56 tahun yang merupakan pekerja kunci air JPS ditemukan terbaring di atas gate kunci air.

“Siasatan awal mendapati tudung kepala mangsa telah terbelit pada ‘role gate’,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mayat mangsa kemudiannya menunggu tindakan dan siasatan lanjut pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Operasi berkenaan melibatkan lima anggota BBP Sabak Bernam bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT).

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!