Seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu petang tadi.
Allahyarham Koperal Muhamad Alimi bin Kamarudin, 35, bertugas di Cawangan Persenjataan IPD Kota Bharu maut ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja selepas dipercayai dirempuh kereta selepas terjatuh dari motosikal jenis Yamaha LC berdekatan Pasar Pulau Melaka.
Berita pemergian anggota berkenaan dimaklumkan menerusi satu kenyataan di Facebook Polis Kontinjen Kelantan yang turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Dalam kenyataan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan menzahirkan rasa simpati atas kehilangan insan tersayang.
Seluruh warga PDRM Kontinjen Kelantan turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri serta dua anak lelaki berusia empat dan tujuh tahun.
Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kampung di Ketereh dan dikebumikan di sana.
Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham.
