Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka mampu membawa kira-kira 10,000 penumpang sehari pada peringkat awal operasinya.
Menurut laporan Berita Harian, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, anggaran itu dibuat berdasarkan penggunaan 10 set tren dengan setiap satunya mampu membawa 425 penumpang.
Jumlah perjalanan yang boleh dilakukan oleh setiap set tren dalam sehari turut diambil kira.
“Kalau satu set tren membuat dua atau tiga perjalanan sehari, kapasiti keseluruhannya boleh mencapai kira-kira 10,000 penumpang sehari.
“Kita yakin apabila perkhidmatan ini dibuka pada peringkat awal, sudah tentu ramai yang akan mencuba perkhidmatan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Comprehensive Inspection Train (CIT), Pengenalan Konsep Reka Bentuk Stesen-Stesen Utama ECRL serta Permulaan System Integration Testing (SIT) dan Fault-Free Run (FFR) di Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak.
Lima Set Tren Sudah Tiba
Loke berkata, lima daripada keseluruhan 10 set tren ECRL sudah tiba di Malaysia, manakala baki lima set dijangka diterima dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Kesemua set tren perlu menjalani FFR sebelum perkhidmatan boleh dimulakan.
“Kesemua 10 set tren perlu menjalani FFR. Apabila semua proses ini selesai, kita akan lebih yakin untuk memulakan operasi,” katanya.
Sebelum dihantar ke Malaysia, semua tren sudah melalui pelbagai ujian di kilang pemasangan di China.
Selepas tiba di negara ini, tren berkenaan perlu menjalani proses integrasi dengan sistem sedia ada termasuk bekalan elektrik dan persinyalan.
SIT yang bermula pada Ogos akan menguji tren di landasan sebenar bagi memastikan integrasi semua sistem dan komponen berkaitan berjalan lancar sebelum memasuki fasa FFR.
Semua ujian terdahulu perlu mendapat kelulusan sebelum FFR boleh dilaksanakan.
“Walaupun kerajaan sedang melihat kaedah untuk memendekkan tempoh FFR yang biasanya mengambil masa dua hingga tiga bulan, usaha itu tidak akan dibuat dengan menjejaskan aspek keselamatan,” katanya.
Kota Bharu–Gombak Sekitar Empat Jam
Kemajuan keseluruhan projek ECRL yang menghubungkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor kini mencapai 95 peratus setakat Julai 2026.
Penyiapan jajaran Fasa 1 dari Kota Bharu ke Gombak dijadualkan pada Disember 2026, manakala operasi komersial dilaporkan dijangka bermula pada Januari 2027.
Fasa 2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang pula dijangka siap pada Disember 2027 bagi membolehkan operasi penuh ECRL bermula pada Januari 2028.
Pengaktifan tenaga elektrik di kesemua 22 stesen sepanjang jajaran Kota Bharu–Gombak juga sudah diselesaikan.
Tumpuan kini diberikan kepada kerja integrasi sistem serta program ujian dan pentauliahan sebelum perkhidmatan dibuka kepada orang ramai.
Apabila beroperasi, perjalanan antara Gombak dengan Kota Bharu dijangka mengambil masa sekitar empat jam, manakala Gombak ke Kuala Terengganu kira-kira tiga jam.
ECRL turut menghubungkan Terminal Bersepadu Gombak dengan rangkaian pengangkutan awam sedia ada termasuk LRT Laluan Kelana Jaya, sekali gus memudahkan perjalanan pengguna dari Pantai Timur ke Lembah Klang.
Sumber: Berita Harian
