Penduduk Dabong, Kuala Krai bakal menikmati kemudahan stesen kereta api yang lebih selesa apabila kerajaan meluluskan peruntukan RM12 juta bagi pembinaan Stesen KTM Dabong yang baharu.
Kelulusan itu dimaklumkan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah ketika menjawab gesaan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman dalam Sidang Kamar Khas Parlimen pada 11 November lalu.
Sebelum ini, Abdul Latiff membangkitkan keadaan fizikal stesen berkenaan yang disifatkan masih usang dan tidak mempunyai kemudahan asas mencukupi, meskipun Dabong semakin mendapat perhatian sebagai destinasi pelancongan menerusi fenomena 'Train to Dabong'.
Beliau berkata, stesen itu bukan sahaja menjadi tumpuan pelancong, malah merupakan antara akses pengangkutan penting bagi penduduk pedalaman termasuk pelajar sekolah.
“Julukan ‘Train to Dabong’ menjadikan stesen ini tumpuan, namun sehingga kini ia masih tidak mempunyai platform dan bumbung yang sempurna, malah kemudahan surau serta tandas juga tidak selesa,” jelasnya.
Stesen Baharu Dengan Platform Berbumbung 250 Meter
Menjawab perkara itu, Hasbi mengesahkan peruntukan RM12 juta sudah disediakan bagi menggantikan struktur stesen sedia ada dengan sebuah bangunan baharu yang lebih moden dan selesa.
Menurutnya, projek berkenaan kini berada pada peringkat reka bentuk dan akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan seliaan Perbadanan Aset Keretapi (RAC).
Antara kemudahan utama yang dirancang ialah platform berbumbung sepanjang 250 meter bagi menampung operasi tren Diesel Multiple Unit (DMU) tiga koc.
Projek itu turut merangkumi ruang menunggu yang lebih luas, kemudahan sokongan operasi kereta api, surau lebih selesa serta tandas awam yang dinaik taraf.
Pembinaan Dijangka Bermula Suku Ketiga 2027
Bagi jadual pelaksanaan, kerja-kerja pembinaan fizikal dijangka bermula pada suku ketiga 2027.
Bagaimanapun, pelaksanaannya berpotensi diawalkan sekiranya pemasangan menara telekomunikasi di sepanjang jajaran laluan dapat disiapkan lebih awal.
Dalam perkembangan sama, Abdul Latiff turut mencadangkan kerjasama strategik antara Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta pihak berkuasa tempatan bagi membangunkan pakej pelancongan rel yang lebih bersepadu di Dabong dan Gua Musang.
Beliau turut membangkitkan keadaan tanah milik RAC di sekitar Stesen KTM Kuala Krai yang didakwa terbiar dan tidak terurus.
Selain itu, beliau meminta penjelasan mengenai perkembangan kerja naik taraf landasan bagi jajaran Mentakab–Kuala Krai–Tumpat.
Usaha pembinaan semula Stesen KTM Dabong itu diharap dapat meningkatkan keselesaan pengguna, khususnya penduduk pedalaman yang bergantung kepada perkhidmatan kereta api, selain menyokong potensi pelancongan dan ekonomi setempat.
Sumber: UPKN Kelantan
