Inilah gambaran Kompleks Sukan Bukit Merbau di Pasir Puteh apabila projek berkenaan siap sepenuhnya seperti yang dijadualkan pada penghujung 2027.
Visual janaan kecerdasan buatan (AI) ini dibina berdasarkan pelan asal pembangunan kompleks tersebut dan mungkin menjadi gambaran paling hampir mengenai susunan keseluruhan kemudahannya apabila siap kelak.
Bagaimanapun, visual ini hanyalah gambaran berdasarkan pelan dan reka bentuk sebenar mungkin mengalami perubahan sepanjang proses pembinaan.
Kompleks sukan yang turut dikenali sebagai Madinah Ar-Riadhah itu dibangunkan dengan pelbagai kemudahan sukan bertaraf kebangsaan.
Antara komponen yang dirancang ialah stadium utama, lapang sasar menembak, stadium tertutup, arena tertutup bagi sukan dalam dewan, masjid, padang bola sepak sintetik, sekolah sukan, stadium hoki, gelanggang tenis dan kompleks skuasy.
Pembangunan itu turut merangkumi gelanggang lawn bowl dan padang ragbi.
Stadium Utama Komponen Terbesar
Stadium Utama Bukit Merbau dibina dengan kos kira-kira RM178 juta, sekali gus menjadi komponen terbesar dalam pembangunan kompleks berkenaan.
Secara keseluruhan, Kompleks Sukan Bukit Merbau membabitkan nilai pembangunan sekitar RM293 juta.
Apabila siap kelak, kompleks itu dijangka menjadi pusat pembangunan sukan baharu Kelantan, selain menyediakan kemudahan latihan dan pertandingan untuk pelbagai jenis sukan.
Kompleks berkenaan juga bakal menjadi venue utama bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Kelantan 2028.
Pembinaan Memasuki Fasa Lebih Besar
Dengan kemajuan projek yang semakin ketara ketika ini, pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau dilihat mula memasuki fasa melibatkan struktur lebih besar.
Kerja seni bina, pemasangan bumbung, kemasan dalaman dan penyediaan padang dijangka dilakukan pada peringkat seterusnya sebelum kompleks itu dapat disiapkan sepenuhnya.
Jika keseluruhan pembangunan dapat disiapkan seperti dirancang, Madinah Ar-Riadhah bukan sahaja bakal mengubah landskap sukan Kelantan, malah berpotensi muncul sebagai antara mercu tanda baharu di Pasir Puteh.
