Cubaan merompak sebuah kedai emas di Aceh Barat, Indonesia, gagal selepas anak pemilik kedai bertindak berani bergelut dengan seorang lelaki bersenjata sebelum berjaya merampas raifal AK-47 milik suspek.
Kejadian di Kedai Emas Niko itu membabitkan dua lelaki, termasuk seorang yang membawa senjata api laras panjang.
Rakaman insiden berkenaan tular di media sosial selepas memaparkan aksi pergelutan antara anak pemilik kedai dengan lelaki bersenjata di kaki lima premis berkenaan.
Menurut laporan DetikSumut, suspek cuba melarikan diri ketika bergelut dengan mangsa, namun terjatuh di atas jalan raya.
Lelaki itu kemudian cuba melarikan diri sekali lagi sebelum dikejar dan diserang semula oleh mangsa.
Penduduk Turut Bantu Tumpaskan Suspek
Keadaan menjadi semakin tegang apabila beberapa penduduk setempat datang membantu mangsa dengan memukul suspek.
Dalam kekecohan itu, anak pemilik kedai berjaya mendapatkan senjata AK-47 yang dibawa lelaki berkenaan sebelum membawanya masuk ke dalam premis.
Seorang lagi suspek yang berada di hadapan kedai turut menjadi sasaran penduduk sebelum kedua-duanya ditahan.
Penduduk kemudian mengikat tangan suspek dan menyerahkan mereka kepada pihak polis.
Salah Seorang Suspek Anggota Polis
Ketua Polis Aceh Barat, AKBP Agus Sulistianto berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi waktu tempatan.
Beliau turut mendedahkan salah seorang suspek merupakan anggota Polis Republik Indonesia.
“Kejadian berlaku waktu pagi kira-kira pukul 10 (waktu tempatan). Suspek terdiri daripada dua orang, iaitu A yang merupakan anggota Polis Republik Indonesia, dan seorang lagi, DS yang bekerja sendiri,” katanya.
Polis Rampas AK-47, Tukul Besi dan Motosikal
Dalam siasatan kes berkenaan, polis merampas beberapa barang bukti termasuk sepucuk senjata AK-47, sebatang tukul besi dan sebuah motosikal.
Kedua-dua suspek kini ditahan dan masih menjalani proses soal siasat bagi membantu siasatan.
Sumber: DetikSumut
