Hilang Selepas Kuliah Maghrib, Ustaz Hamdi Ditemukan Maut Dalam Sungai

Kehilangan seorang guru takmir daerah Segamat selepas selesai menyampaikan kuliah Maghrib pada malam Rabu berakhir dengan berita duka apabila dia ditemukan meninggal dunia di dalam keretanya yang terbabas ke sungai berhampiran Ladang Mados, Segamat, pagi Khamis.

Mangsa, Ustaz Hamdi Abdul Razab, 34, dipercayai hilang kawalan ketika memandu Perodua Axia sebelum kenderaan itu terbabas ke dalam Sungai Anak Sungai Kapeh.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 7 pagi.

"Mangsa tidak mengalami kecederaan luaran, namun dipercayai meninggal dunia akibat lemas di sungai berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Isteri Sedar Suami Belum Pulang

Sebelum kejadian disedari, isteri mangsa yang berusia 28 tahun mula menyedari suaminya belum pulang ke rumah selepas selesai menyampaikan kuliah Maghrib.

Mangsa juga tidak kelihatan keluar melalui pintu pagar utama ladang berkenaan selepas waktu Isyak.

Isterinya kemudian membuat laporan polis kira-kira jam 1 pagi.

Kakitangan Ladang Turut Jalankan Pencarian

Beberapa kakitangan ladang turut membantu mencari mangsa kerana pada awalnya mereka menyangka lelaki itu mungkin tersesat di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, usaha pencarian terpaksa dihentikan selepas hujan lebat dan paras air sungai semakin meningkat.

Mangsa akhirnya ditemukan selepas kereta yang dipandunya terbabas ke dalam sungai berhampiran ladang berkenaan.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Adzrull Hisham, menerusi talian 07-9325811 bagi membantu siasatan.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!