Kelantan Red Warrior FC (KRW) terus menerima sokongan menggalakkan menerusi Siri Jelajah Daerah apabila kunjungan pasukan itu ke Tumpat mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat.
Program berkenaan menjadi antara usaha KRW mendekati komuniti serta penyokong bola sepak Kelantan menjelang cabaran Liga Super musim 2026/2027.
Kehadiran pasukan di Tumpat semalam diserikan dengan perlawanan persahabatan menentang PBJ Tumpat dengan kemenangan berpihak kepada skuad kendalian Irfan Bakti dengan jaringan 4-0.
Kelantan menewaskan PBJ Tumpat hasil jaringan Emmanuel Mbarga pada minit 38', 76', dan 86' (Pen) serta jaringan sendiri pihak lawan pada minit 45' | Foto: KRW
Sehari sebelum itu, KRW telah mengadakan sesi latihan di Stadium Mini Ketereh yang turut mendapat sambutan baik daripada penduduk sekitar.
Sambutan yang diberikan di kedua-dua daerah berkenaan memperlihatkan keterujaan penyokong untuk melihat lebih dekat perkembangan pasukan KRW yang bakal membawa cabaran Kelantan dalam saingan Liga Super.
Tanah Merah Destinasi Seterusnya
Selepas Ketereh dan Tumpat, KRW dijadualkan bertemu Melaka FC dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV sebelum ke Tanah Merah untuk menentang USM Penang FC.
Machang dan Gua Musang akan menjadi destinasi pilihan seterusnya untuk sesi latihan pasukan bagi meneruskan usaha mendekati penyokong dari seluruh negeri.
Selain itu, KRW turut mempunyai beberapa perlawanan persediaan lain dalam jadual pramusim mereka.
Antaranya ialah perlawanan menentang Melaka FC pada 1 Ogos, USM Penang FC pada 4 Ogos dan Kuching City FC pada 10 Ogos 2026.
Gabungan perlawanan persahabatan dan program bersama penyokong itu menjadi sebahagian daripada persiapan KRW sebelum memulakan cabaran dalam Liga Super musim baharu.
