Penyeludup Panik Campak 595 Paket Minyak Masak Bersubsidi Dalam Semak

Cubaan menyeludup minyak masak bersubsidi gagal apabila penyeludup dipercayai bertindak mencampakkan ratusan paket minyak masak ke dalam kawasan semak sebelum melarikan diri selepas menyedari mereka diekori pihak berkuasa di Kampung Lumpur, Jeram Perdah, Pasir Mas pada Jumaat.

Rampasan itu dilakukan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dan Op Taring Wawasan Kelantan yang dijalankan secara bersama oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan serta Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9.

Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pasukan operasi mengesan sebuah Mitsubishi Pajero berwarna perak dalam keadaan mencurigakan sedang bergerak menuju ke Jalan Pohon Tanjung.

"Apabila menyedari pergerakannya diekori pasukan operasi, pemandu kenderaan itu dipercayai memecut laju dan memasuki laluan kampung bagi mengelak daripada ditahan.

"Suspek dipercayai melalui Jalan Kampung Chenerai sebelum berjaya menghilangkan diri daripada dikesan," katanya.

Tinggalkan Kotak Berisi Minyak Masak Dalam Semak

Menurut Hanif, pemeriksaan di kawasan sekitar membawa kepada penemuan beberapa kotak berwarna coklat yang ditinggalkan di dalam kawasan semak berhampiran lokasi kejadian.

Hasil pemeriksaan mendapati kotak-kotak berkenaan mengandungi sebanyak 595 paket minyak masak bersubsidi yang dipercayai sengaja ditinggalkan suspek bagi mengelakkan ia ditemui bersama mereka.

"Pasukan operasi menjalankan pemeriksaan selama kira-kira 30 minit di lokasi, namun tiada individu tampil mengaku sebagai pemilik atau menuntut barangan berkenaan.

"Rampasan membabitkan 493 paket minyak masak bersubsidi bernilai RM1,232.50 dan 102 lagi paket bernilai RM255, menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM1,487.50," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan semua barang rampasan telah diserahkan kepada KPDN Cawangan Pasir Mas untuk tindakan serta siasatan lanjut.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!