Polis menyerbu 22 premis yang menjual rokok elektronik atau vape di Kelantan dalam satu operasi khas selama dua hari, sekali gus merampas 1,447 peranti vape dan 267.4 liter cecair vape yang dianggarkan bernilai RM96,475.
Menurut laporan Bernama, operasi bersepadu menerusi Ops Vape itu dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Kelantan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) pada 27 dan 28 Julai lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, operasi tersebut memfokuskan kepada usaha mengesan dan memeriksa premis yang menjual vape serta menahan individu yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penjualan vape yang mengandungi dadah.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati cecair vape yang dirampas dalam operasi itu tidak mengandungi dadah.
Sepanjang operasi dijalankan, polis turut menahan seorang wanita mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Selain itu, KKM dan PBT turut mengeluarkan saman serta kompaun terhadap premis yang didapati melakukan pelanggaran di bawah bidang kuasa masing-masing.
Mohd Yusoff berkata, JSJN Kelantan akan terus mempergiat risikan, pemantauan dan operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa berkaitan bagi membanteras pengedaran vape yang mengandungi bahan terlarang.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa dan masyarakat supaya memainkan peranan memantau tingkah laku anak-anak serta tidak memandang ringan ancaman penyalahgunaan vape yang semakin menular.
Sumber: Bernama
