MPKB-BRI Tolak Rayuan, Penganjur Disko Retro Kekal Kena Kompaun RM30,000

Penganjur majlis disko retro bertemakan hippie ala 60-an dan 70-an di sebuah premis berhampiran Sungai Kelantan tidak diberikan sebarang pengurangan kompaun selepas didapati menganjurkan program hiburan tanpa lesen sah minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, penganjur sebelum ini mengadakan perbincangan dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) pada Ahad lalu bagi memohon pengurangan kompaun.

Menurut beliau, pihak penganjur turut menyerahkan surat rayuan supaya kompaun yang dikenakan dapat dikurangkan.

Bagaimanapun, beliau memutuskan supaya kedua-dua kompaun tersebut dikekalkan tanpa sebarang pengurangan.

Kompaun sebanyak RM25,000 dikenakan kerana menganjurkan program hiburan tanpa lesen yang sah, manakala RM5,000 lagi dikenakan atas kesalahan menjual tiket berharga RM35 tanpa permit.

“Sehubungan itu, saya membuat keputusan bahawa kedua-dua kompaun itu tidak dikurangkan. Penganjur perlu menjelaskan bayaran RM30,000 dalam tempoh tujuh hari selepas surat jawapan diserahkan kepada mereka.

“Saya sudah mengarahkan surat jawapan itu diserahkan segera bagi membolehkan penganjur program tersebut menjelaskan kompaun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Hilmi berkata, sekiranya penganjur gagal menjelaskan bayaran dalam tempoh ditetapkan, tindakan mahkamah akan diambil mengikut Seksyen 7(1)(a) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan (Kelantan) 2025.

Beliau berkata, kesalahan menjual tiket hiburan tanpa permit pula dikenakan tindakan di bawah Seksyen 20(1)(a) enakmen yang sama.

Sumber: Kosmo

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!