Pok Mat yang dikenali menerusi ungkapan loghat Kelantan, “Assalamualaikum, nok mintok sedekoh ado ko?”, antara lapan individu ditahan dalam Operasi Murni Bersepadu di sekitar Kota Bharu pada malam Rabu.
Menurut kenyataan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), operasi pada 29 Julai 2026 itu bermula jam 9 malam hingga 12.30 pagi dengan penyelarasan Bahagian Penguatkuasa MPKB-BRI.
Operasi diketuai Ketua Inspektor Penguatkuasa MPKB-BRI, Mohamad Ali dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.
Ia melibatkan 10 anggota MPKB-BRI, 19 pegawai JKM, empat anggota PDRM dan 13 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia.
Antara lokasi diperiksa ialah kawasan bank sekitar bandar Kota Bharu, Dataran Muhammadi dan Dataran Bandar Raya. Menurut laporan Sinar Harian, pemeriksaan turut dilakukan di Dataran Masjid Jamek Muhammadi, Kubang Kerian dan Pasir Tumbuh.
Pok Mat Mengaku Dapat Sehingga RM300 Sehari
Pengarah JKM Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh berkata, Pok Mat sendiri memberitahu pihak berkuasa bahawa dia mampu memperoleh ratusan ringgit sehari daripada pemberian orang ramai.
“Pok Mat sendiri memberitahu dia memperoleh RM200 hingga RM300 sehari hasil pemberian orang ramai,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Hasil operasi menyaksikan empat warga tempatan ditahan JKM mengikut Akta Orang-Orang Papa 1977, manakala empat warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Warga tempatan yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dewasa termasuk Pok Mat, seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun. Warga asing pula melibatkan tiga wanita dewasa.
Pihak berkuasa turut mengesan warga asing yang menggunakan jualan kerepek dan makanan ringan di kaki lima bank sebagai helah untuk meraih simpati orang ramai.
Seorang wanita warga tempatan bersama kanak-kanak sembilan tahun menjual kelepek di kaki lima sebuah bank | Foto: Media MPKB-BRI
“Mereka masuk ke Malaysia menggunakan pasport yang sah, namun dipercayai menyalahgunakan pas lawatan dengan menjalankan aktiviti menjual barangan di tempat awam.
“Kesemua warga asing ini diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut,” kata Che Samsuzuki.
Warga Emas Thailand Mengaku Mengemis Empat Tahun
Dalam operasi sama, seorang wanita warga emas dari Thailand berusia 68 tahun dipercayai sudah mengemis di kaki lima sebuah bank selama empat tahun.
Menurut laporan Sinar Harian, wanita itu mendakwa sudah kehilangan suami dan anak lelaki tunggalnya dalam kemalangan serta tidak lagi mempunyai sesiapa untuk dijadikan tempat bergantung.
“Kalau nak tangkap, tangkaplah.
“Saya memang sudah tidak ada siapa-siapa,” katanya.
Wanita itu mengaku memperoleh kira-kira RM30 pada hari berkenaan kerana semakin kurang orang memberikannya wang.
“Sekarang orang tidak beri sangat, hari ini dapat RM30 sahaja.
“Saya datang dari 8 malam tadi, selepas orang habis kerja. Siang tidak boleh sebab kena halau,” ujarnya.
Wanita warga emas dari Thailand mengaku sudah mengemis di kaki lima sebuah bank di Kota Bharu selama empat tahun | Foto: Media MPKB-BRI
Wang berkenaan digunakan untuk menampung keperluan harian termasuk membayar bil air dan elektrik.
Dia mendakwa dibenarkan tinggal secara percuma di sebuah bilik berhampiran stadium selepas tidak mempunyai tempat tinggal tetap.
“Saya tidak ada keluarga. Anak seorang meninggal kemalangan, suami pun sudah tiada,” katanya.
Wanita itu pernah ditahan dan dihantar pulang ke Tak Bai, Thailand, namun kembali semula kerana mendakwa tidak mempunyai sesiapa di negara asal.
“Kalau dihantar balik pun saya tidak tahu mahu pergi mana. Saya datang semula kerana tidak ada sesiapa,” katanya.
Dia turut mendakwa mengalami masalah saraf pada kaki kiri sehingga menyukarkannya bergerak.
Seorang Lagi Wanita Merayu Mahu Pulang
Sinar Harian turut melaporkan seorang lagi wanita warga Thailand berusia 63 tahun mendakwa memasuki Malaysia dari Pattani pada 12 Julai lalu melalui Pengkalan Kubor.
Wanita yang menunjukkan pasportnya kepada pihak berkuasa itu merayu supaya tidak dikenakan tindakan dan memberi alasan mahu pulang ke Thailand.
“Saya mahu balik Thailand esok.
“Tolonglah, sekali ini saja, saya tak kan buat lagi, saya tak tahu ini salah,” katanya.
Bagaimanapun, semua warga asing yang terlibat diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.
Orang Ramai Diminta Salur Sumbangan Melalui Saluran Sah
Dalam operasi berkenaan, pihak penguat kuasa turut menampal pelekat peringatan dan memberikan penerangan kepada orang ramai agar tidak mudah tertipu.
Penguatkuasa menampal pelekat 'Bijak Membantu, Elak Tertipu' sebagai peringatan kepada orang awam | Foto: Media MPKB-BRI
“Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada pertubuhan kebajikan berdaftar, rumah ibadat atau Yayasan Kebajikan Negara bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” kata Che Samsuzuki.
MPKB-BRI turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memberikan wang secara terus kepada individu yang meminta sedekah di tempat awam. Sebaliknya, sumbangan disarankan disalurkan melalui agensi atau pertubuhan sah.
Menurut Che Samsuzuki, jumlah individu yang ditahan dalam operasi kali ini menurun berbanding kebiasaan yang mencatatkan lebih 10 individu dalam setiap operasi terdahulu.
Sumber: Sinar Harian, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam
