Langit Kalimantan Bertukar Jingga, 277,075 Kes Jangkitan Pernafasan Dilaporkan

Langit di Kalimantan Tengah, Indonesia kembali diselubungi jerebu tebal berwarna jingga keperangan susulan kebakaran hutan dan tanah yang masih melanda wilayah berkenaan.

Keadaan itu turut dirakam menerusi video yang dikongsi orang ramai di media sosial, menunjukkan jalan raya dan bangunan di Palangka Raya, ibu kota Kalimantan Tengah, dilitupi jerebu tebal sehingga suasana kelihatan suram.

Menurut laporan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) menerusi laman sesawangnya, kualiti udara di Palangka Raya berada pada tahap berbahaya pada pagi Rabu.

Kepekatan zarah halus PM2.5 dilaporkan mencecah hampir lima kali ganda paras ambang bagi kategori pencemaran tertinggi agensi itu.

Satu lagi video yang dikongsi dari Timpah, juga di Kalimantan Tengah, menunjukkan langit berwarna jingga dengan kawasan sekitarnya diselubungi jerebu tebal. Individu yang merakam video berkenaan menyatakan ia dirakam pada jam 11 pagi, 13 Oktober.

Kualiti Udara Masih Berbahaya Di Beberapa Wilayah

Kementerian Perhutanan Indonesia memberi amaran bahawa kualiti udara masih membimbangkan meskipun usaha memadam kebakaran sedang giat dijalankan.

“Kualiti udara berada pada tahap sangat tidak sihat hingga berbahaya masih menjejaskan Kalimantan Tengah dan beberapa kawasan di Kalimantan Selatan, selain Sumatera Selatan dan Jambi, manakala kualiti udara di kebanyakan kawasan lain di Indonesia kekal pada tahap sederhana atau baik,” menurut kementerian itu menerusi media sosial.

Keadaan tersebut menunjukkan pencemaran udara masih berlarutan di beberapa wilayah yang terjejas akibat kebakaran hutan dan tanah.

Lebih 277,000 Kes Jangkitan Saluran Pernafasan Akut

Kesan jerebu turut membabitkan kesihatan penduduk apabila Kementerian Kesihatan Indonesia melaporkan sebanyak 277,075 kes jangkitan saluran pernafasan akut (ISPA) di 63 daerah dan bandar merangkumi tujuh wilayah setakat 11 Oktober.

Daripada jumlah itu, sebanyak 62,400 kes melibatkan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah.

Menerusi hantaran di Instagram, kementerian berkenaan memaklumkan bahawa seramai 2,106 petugas perubatan dan kesihatan telah dikerahkan ke kawasan terjejas.

Bagi menyokong usaha menangani kesan kesihatan akibat jerebu, bekalan perubatan turut diagihkan, termasuk lebih 2.89 juta pelitup muka, 280 alat pemekat oksigen dan 4,908 set peralatan perlindungan diri (PPE).

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!