Myanmar bersetuju menerima semula kira-kira 5,000 pelarian Rohingya yang kini berada di Malaysia hasil rundingan dan hubungan baik antara kedua-dua negara.
Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu pada mulanya sukar untuk dilaksanakan kerana Myanmar sebelum ini enggan menerima semula pelarian Rohingya.
"Orang kata hantar balik (pelarian Rohingya tapi), hantar balik ke mana? Hantar ke Myanmar... depa dekat sana (sebelum ini) tak mahu terima.
"(Tapi) sebab hubungan baik (Malaysia) dengan Myanmar sekarang ini, dia (Myanmar) setuju ambil 5,000 dulu dari Malaysia," katanya ketika berucap pada Majlis Minum Petang Bersama PMX DUN Chennah di Simpang Durian.
Anwar berkata persetujuan itu dicapai hasil hubungan diplomatik yang semakin baik antara Malaysia dan Myanmar.
Perdana Menteri turut mengulas insiden ratusan pelarian Rohingya yang berhimpun di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.
Beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kumpulan pelarian yang mengganggu ketenteraman awam atau cuba menguasai mana-mana kawasan di negara ini.
"Saya dah bagi arahan (kepada polis), saya tak mahu (pelarian) Rohingya ganggu jalan raya dan tempat-tempat awam.
"Ini negara Malaysia, tak boleh dia ganggu kita. Jadi polis ambil tindakan, pindahkan mereka (ke satu kawasan)," katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus memaklumkan pelarian Rohingya yang berhimpun di ibu negara telah dipindahkan secara berperingkat ke tiga negeri yang ditetapkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan UNHCR.
Sumber: Bernama
